Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendakwaan: Muhyiddin guna kedudukan PM salur RM225.3 juta ke akaun Bersatu
Diterbitkan:  Mar 9, 2026 2:17 PM
Dikemaskini: 6:17 AM

Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram akan mengemukakan keterangan bagi menunjukkan wang jutaan ringgit disalurkan ke akaun sekutunya iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pada waktu itu Muhyiddin adalah Presiden Bersatu dan Perdana Menteri yang mempunyai kepentingan secara tidak langsung kepada Projek Jana Wibawa.

“Pihak pendakwaan mengakui wang berjuta-juta ringgit sememangnya tidak masuk ke dalam poket tertuduh, tetapi masuk ke dalam akaun sekutunya iaitu Bersatu,” katanya ketika membacakan kenyataan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes Muhyiddin di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.

Wan Shaharuddin berkata pihaknya juga akan menunjukkan Menteri Kewangan ketika itu hanya bertindak berdasarkan minit mesyuarat tertuduh dan tidak memperoleh sebarang keuntungan daripada keputusan yang dibuat.

“Begitu juga dengan sekutu Menteri Kewangan ketika itu iaitu UMNO juga tidak mendapat apa-apa keuntungan. Keterangan akan menunjukkan bahawa jika tidak kerana tertuduh menjadi Presiden Bersatu dan pada masa yang sama menjadi Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, Bersatu tidak akan mendapat sumbangan berjuta-juta ringgit,” kata Wan Shaharuddin.

Wan Shaharuddin berkata pihak pendakwaan akan bergantung kepada keterangan dokumen bertulis serta rekod, selain keterangan langsung serta keterangan ikut keadaan bagi membuktikan kes berkenaan.

Beliau berkata kira-kira 30 saksi dijangka dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.

“Dalam membuktikan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM), pihak pendakwaan akan bergantung kepada anggapan undang-undang di bawah Seksyen 23 (2) akta sama.

“Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan bahawa Bersatu adalah satu organisasi bagi maksud Seksyen 3 ASPRM dan Mahkamah Rayuan juga memutuskan pertuduhan-pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) ASPRM tiada sebarang kecacatan,” katanya.

Perbicaraan kemudian bersambung dengan pihak pendakwaan memanggil saksi pertama iaitu Penolong Penguasa SPRM Mohd Syawaludin Said.

Muhyiddin, 78, yang ketika kejadian memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa.

Suapan itu didakwa diperoleh daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Beliau turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu, TPR Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memaklumkan terdapat pindaan pada pertuduhan keempat berkaitan kesalahan menyalahgunakan kedudukan melibatkan jumlah suapan. Keempat-empat pertuduhan itu kemudian dibacakan semula kepada Muhyiddin dan beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Wan Shaharuddin mengetuai pasukan pendakwaan dengan dibantu Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat, Mahadi Abdul Jumaat, Alis Izzati Azurin Mohd Rusdi dan Pegawai Pendakwa Mohamad Safari Abdullah.

Sementara itu, pasukan pembelaan diketuai peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik bersama Datuk K.Kumaraendran, Datuk Rosli Dahlan, Datuk Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Low Wei Loke, Kee Wei Loon, Siti Sumaiyahh Ahmad Jaafar, Lee Yee Wei dan Tang Jia Yearn.

Pada 7 Okt 2025, Jabatan Peguam Negara menolak representasi Muhyiddin bagi menggugurkan tujuh pertuduhan dihadapinya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS