Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan seorang lagi lelaki bantu siasatan dakwaan ancam Zamri Vinoth

Polis menahan seorang lagi lelaki bagi membantu siasatan berhubung dakwaan insiden melakukan ancaman terhadap penceramah bebas Zamri Vinoth.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata tangkapan terhadap lelaki berusia lingkungan 20-an itu dibuat di Bukit Mertajam malam tadi.

“Lelaki itu direman sehari bagi membantu siasatan kes yang disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut kes itu sedang dijalankan dan pihak polis juga giat mengesan individu lain yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Semalam, polis mengesahkan menahan seorang lelaki berusia 20-an bagi membantu siasatan kes itu selepas polis menerima laporan berhubung insiden itu daripada Zamri, yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

Pekerja kilang yang direman empat hari bagi membantu siasatan kes khianat terhadap harta benda dan ugutan ke atas Zamri telah dibebaskan malam tadi selepas tempoh remannya disemak semula oleh mahkamah.

Terdahulu, Zamri memuat naik rakaman video berdurasi 19 saat di Facebook yang memaparkan kenderaannya dihampiri sebuah motosikal dinaiki dua lelaki sebelum beberapa lelaki lain turut datang menghampiri dan kenderaan itu kemudian dilihat melanggar motosikal berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS