Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Teruskan RCI tak kira kontrak Azam disambung atau tidak’

Aktivis tetap mahukan satu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan walaupun kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, yang bakal tamat dua bulan lagi, mungkin tidak dilanjutkan.

Pengerusi Bersih Faisal Aziz berkata kumpulan reformasi pilihan raya itu percaya RCI sangat penting untuk menangani semua isu yang membelenggu SPRM.

“Pertama kerajaan perlu mengesahkan perkara ini kerana buat masa ini ia masih berlegar sebagai khabar angin.

“Kedua, Bersih kekal dengan pendirian untuk RCI dilaksanakan bagi menjawab semua persoalan berkaitan isu dalam SPRM.

“SPRM bukan semata tentang Azam Baki tetapi struktur suruhanjaya itu sendiri yang perlu bersih dan telus dari sebarang tuduhan ‘Mafia Korporat’ atau apa-apa tuduhan penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Faisal Aziz

Faisal turut menggesa kerajaan memulakan reformasi penuh SPRM dengan meletakkan agensi itu bawah bidang kuasa parlimen dan memberi kuasa kepadanya untuk memilih ketua SPRM.

Nada sama Hassan Karim

Nada yang sama disuarakan anggota parlimen lantang kerajaan Hassan Karim yang mahukan RCI ditubuhkan tanpa mengira tempoh perkhidmatan Azam atau hasil siasatan jawatankuasa khas yang diketuai peguam negara.

Dia berkata gesaan untuk RCI bukan mengenai Azam sebagai individu tetapi isu tadbir urus bagi agensi yang diamanahkan untuk memerangi rasuah di negara ini.

“...RCI perlu diadakan walau apa pun keputusan siasatan jawatankuasa khas yang diketuai oleh peguam negara kerana skop siasatan jawatankuasa khas tersebut adalah kecil dan terhad hanya ke atas isu pegangan saham oleh Azam Baki selaku ketua pesuruhjaya SPRM.

Hassan Karim

“RCI perlu diberi terma rujukan siasatan yang luas termasuk isu Azam Baki dan juga dakwaan wujud amalan jenayah komersial yang dipanggil mafia korporat.

“RCI berperanan sebagai satu langkah positif untuk membina semula keyakinan rakyat terhadap integriti SPRM,” kata Hassan.

Anggota parlimen Pasir Gudang itu menambah RCI juga perlu mencadangkan reformasi yang boleh memastikan agensi itu kekal telus, berkesan, dan melangkaui sebarang kecaman.

Semalam, media Singapura The Straits Times melaporkan bahawa kontrak Azam tidak akan disambung selepas berakhir pada 12 Mei.

Laporan itu memetik sumber peringkat tinggi kerajaan dan undang-undang yang tidak dinamakan sebagai berkata bahawa keputusan itu dibuat susulan dakwaan rasuah terhadap Azam, yang tempoh perkhidmatannya sudah disambung sebanyak tiga kali.

Dakwaan “mafia korporat” itu mencetuskan perhatian awam selepas dilaporkan media kewangan antarabangsa Bloomberg, yang turut memetik dakwaan komplot dengan pegawai kanan SPRM dalam rangka mengambil alih kepentingan sesuatu syarikat.

Mereka didakwa menggunakan modus operandi menekan pemegang saham bagi memperoleh kepentingan mereka dengan harga murah.

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan oleh SPRM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS