mk-logo
Berita
Digantung Bersatu, Ronald: Kalau salah besar kenapa tak pecat?
Diterbitkan:  Mar 10, 2026 2:26 PM
Dikemaskini: 6:26 AM

Menerima surat pemakluman penggantungan, bekas Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee, bahkan tidak kelihatan goyah malah mempersoalkan langkah lembaga disiplin parti itu yang dianggapnya tidak bertindak dengan tepat.

Menurut Ronald dia memang terbabit secara langsung dengan beberapa program bersama bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, selain bertemu dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, di Bangkok pada tahun lalu.

"Jika benar itu adalah satu kesalahan besar, mengapa tidak dipecat?" katanya dalam kenyataan di media sosial petang ini.

Mengiringi kenyataan itu ialah gambar surat daripada Lembaga Disiplin Bersatu kepada Ronald bertarikh hari ini.

Surat itu ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Mohd Radzi Manan, dan menyatakan alasan Ronald digantung selama dua penggal iaitu melanggar fasal 9.1.4 perlembagaan parti.

Semakan menunjukkan fasal berkenaan terkait dengan kegagalan seseorang ahli menjalankan kerja-kerja parti, mengambil bahagian dalam mesyuarat parti dan aktiviti parti.

Surat yang sama juga menyatakan Ronald berhak membuat rayuan atas keputusan tersebut dalam tempoh 14 hari bermula 10 Mac.

Menurut Ronald keputusan lembaga disiplin itu menguatkan lagi persepsi bahawa badan tersebut digunakan sebagai alat politik bagi melindungi presiden parti, Muhyiddin Yassin, serta kelompok kecil yang dekat dengan Ahli Parlimen Pagoh tersebut.

"Sejak dua tahun kebelakangan ini, hala tuju parti semakin jelas tersasar apabila segala tindakan seolah-olah tertumpu kepada satu matlamat: mengangkat Tan Sri Muhyiddin sebagai poster boy dan calon perdana penteri ke-11.

"Sesiapa yang dilihat berpotensi menjadi penghalang kepada agenda ini akan disingkirkan. Lembaga Disiplin dijadikan alat paling ampuh untuk melaksanakan tindakan tersebut.

"Inilah juga yang berlaku terhadap beberapa pemimpin parti sebelum ini, termasuk Datuk Seri Hamzah. Akhirnya yang tinggal hanyalah mereka yang sentiasa berkata 'ya' kepada presiden," katanya.

Ronald yang juga bekas anggota kabinet dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin sebelum ini merupakan salah seorang ahli parlimen yang memberikan dukungan kepada Hamzah dalam pertembungan dua kem dalam Bersatu.

MP Masjid Tanah juga digantung

Hamzah sebelum ini sudah dipecat oleh Bersatu - juga berdasarkan kepada fasal yang sama dalam perlembagaan parti berkenaan. Ia berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Ronald, dia menyertai Bersatu suatu ketika dulu kerana percaya parti berkenaan adalah wadah perjuangan yang sesuai buatnya, bukan alat untuk memenuhi cita-cita politik individu.

"Namun apa yang kita lihat hari ini amat jauh daripada semangat tersebut.

"Saya tidak akan merayu. Anggap saja tempoh rayuan ini telah tamat. Period," katanya.

Mas Ermieyati Samsudin

Sementara itu seorang lagi pemimpin kanan Bersatu turut menerima surat penggantungan daripada lembaga disiplin.

Bekas ketua sayap wanita parti itu dan Pengerusi PN Melaka, Mas Ermieyati Samsudin, juga kelihatan mentertawakan hukuman yang dikenakan oleh lembaga tersebut.

"Finally aku kena gantung. Setakat itu saja LD (lembaga disiplin) mampu bagi.

"As for me, syukur alhamdulillah. Terima kasih buat semua... Khalas," tulisnya di media sosial.

Berdasarkan imej yang dimuat naik, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah digantung keanggotaan Bersatu selama dua penggal dan diberikan tempoh 14 hari untuk merayu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS