Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kembali ke Umno? Sama sekali tidak, kata Mukhriz Mahathir
Diterbitkan:  Mar 10, 2026 3:53 PM
Dikemaskini: 8:18 AM

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir menegaskan bahawa dia akan tetap bersama partinya itu dan tidak akan kembali ke Umno.

“Tidak ada kemungkinan saya akan kembali semula ke Umno. Absolutely not (sama sekali tidak). Tak ada ubah,” katanya dalam sebuah video yang disiarkan di portal Malaysian Gazette.

Dia berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Muda di Petaling Jaya, semalam. Hadir sama adalah bersama presiden sementara Muda, Amira Aisya Abdul Aziz.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, perjuangan parti tersebut sudah jauh tersasar daripada perjuangan asal,

Ditanya alasan dia tidak mahu menyertai semula Umno, Mukhriz yang pernah menjadi ketua pemuda Umno dan pengerusi Umno Kedah berkata, parti itu bukan lagi seperti dahulu,

“Ia (Umno) sudah jauh berbeza. Ia bukan lagi Umno yang kita kenali. Kebanyakan kita daripada Pejuang pun asalnya daripada Umno dan kemudian menyertai Bersatu dan sekarang dalam Pejuang.

“Jadi kami telah ditapis dua kali.

“Ahli-ahli dalam Pejuang adalah pejuang tegar, yang masih memperjuangkan perjuangan asal Umno sehingga hari ini,” katanya.

Pada 6 Mac lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahlian serta individu yang ingin bersama dalam perjuangan parti untuk menyertai semula Umno.

Katanya, dalam semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan, segala kekhilafan serta perbezaan lalu dimaafkan sepenuhnya bagi membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh kembali keluarga besar Umno.

Mengulas lanjut, bekas menteri besar Kedah itu berkata, dia turut menerima beberapa jemputan daripada parti-parti Melayu untuk menyokong sepenuhnya hasrat menyatukan politik Melayu.

“Sebab kami menjadi anggota dalam Proklamasi Orang Melayu (POM), iaitu payung besar orang Melayu yang diketuai oleh Ayahanda Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Di situ kami memang berpeluang untuk jumpa dengan parti-parti yang lain.

“Sebelum ini pun di bawah Gerakkan Tanah Air (GTA) kami sentiasa berbincang dalam hal itu dan kami sangat terbuka,” katanya.

Mukhriz berkata di sebalik pendirian Pejuang menyokong penuh hasrat untuk menyatukan politik Melayu, namun mereka tidak dapat memenuhi pelawaan untuk kembali ke Umno.

“Cumanya di pandangan Pejuang, ada satu syarat. Syarat itu adalah perpaduan Melayu itu mestilah ada integriti,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS