Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bayi maut disyaki didera selamat dikebumikan

Bayi empat bulan Hayl Haarith Mohd Syafaeez yang maut dipercayai akibat didera di sebuah pusat jagaan kanak-kanak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang selamat dikebumikan kira-kira 10 pagi tadi.

Mohd Syafaeez Mat Liki, 35, berkata anak lelakinya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelulut dekat Marang.

Peniaga itu berkata isterinya Ummu Habibah Wahab, 30, masih bersedih dan trauma dengan kejadian yang menimpa anak sulung mereka.

“Saya bertolak dari Hospital Seberang Jaya kira-kira 8 malam tadi dan tiba di Kampung Kelulut kira-kira 6 pagi.

“Alhamdulillah walaupun sedih, urusan pengebumian lancar dengan dihadiri ahli keluarga, saudara dan penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Syafaeez berkata panggilan video terakhir dengan anaknya pada malam sebelum kejadian akan menjadi kenangan tidak dapat dilupakan.

Lelaki itu berkata tidak akan memaafkan individu yang menyebabkan kematian anaknya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Helmi Aris berkata Hayl Haarith disahkan meninggal dunia pada 4.20 pagi semalam selepas dibawa ke jabatan kecemasan hospital sama oleh pengasuh taska.

Bayi itu dihantar ke pusat jagaan yang beroperasi 24 jam sehari kerana ibunya, seorang jururawat bertugas syif malam.

Hari ini, polis memperoleh perintah reman sehingga 16 Mac terhadap dua wanita berusia 22 tahun yang bekerja di pusat asuhan itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu membunuh.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS