Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis akan panggil Zamri Vinoth bantu siasatan kenyataan berbentuk ugutan

Polis akan memanggil penceramah bebas Zamri Vinoth berkaitan dakwaan mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan, provokasi, bersifat menghina dan berunsur perkauman yang dibuat dalam video “live” di aplikasi TikTok.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata lelaki itu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung satu laporan polis yang dibuat pada 8 Mac lepas.

"Kita perlu panggil beliau bagi membantu siasatan, kemungkinan dalam masa terdekat beliau akan hadir bagi memberi keterangan," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Azizee berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, beliau berkata polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes ugutan jenayah dan khianat terhadap kenderaan dipandu Zamri pada 7 Mac lepas.

Beliau berkata hingga kini enam lelaki berusia 20-an hingga 31 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 427 kanun sama berkaitan perbuatan khianat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS