Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi dakwa Azam ada RM14 juta pegangan saham, gesa dedah siasatan
Diterbitkan:  Mar 13, 2026 6:05 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini menggesa Putrajaya mendedahkan penemuan penuh siasatan terhadap isu pegangan saham yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Dalam satu kenyataan, dia mendakwa siasatan yang dijalankan oleh jawatankuasa khas yang diketuai oleh Peguam Negara, Dusuki Mokhtar, didakwa telah mendedahkan lebih banyak saham di bawah nama Azam.

Mendakwa bahawa dia menerima maklumat daripada sumber di Putrajaya, Rafizi berkata Azam didakwa memiliki saham merentasi sembilan syarikat dengan jumlah gabungan RM14 juta.

"Berita terbaru dari Putrajaya yang kini sedang berlegar, mengikut sumber-sumber kerajaan, ialah dakwaan mengenai penemuan siasatan ke atas pemilikan saham Azam Baki seperti berikut.

"Jumlah saham yang dimiliki berjumlah RM14 juta di dalam sembilan buah syarikat; dan pembelian saham-saham ini tidak mendapat kelulusan atau diisytiharkan seperti yang sepatutnya.

"Selagi kerajaan tidak mengumumkan hasil siasatan secara telus, termasuklah jumlah saham yang terlibat, jumlah syarikat dan bagaimana pelanggaran berlaku, spekulasi mengenai perkara-perkara ini akan terus bertiup kencang," kata bekas menteri ekonomi itu.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan yang dibuat oleh Rafizi.

Malaysiakini telah menghubungi Azam, unit komunikasi strategik SPRM, dan jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil untuk mendapatkan komen.

Rafizi berkata isu ini telah menimbulkan persoalan tentang sumber kekayaan Azam kerana jumlah tersebut tidak sepadan dengan pendapatan seorang penjawat awam kanan.

Dia menegaskan bahawa SPRM biasanya akan mengambil beberapa tindakan terhadap individu yang mempunyai jumlah kekayaan yang tidak dapat dijelaskan, termasuk membekukan akaun bank mereka dan mengarahkan mereka mengisytiharkan aset.

"Sekiranya dakwaan bahawa jumlah saham yang terlibat adalah RM14 juta di dalam sembilan syarikat itu benar, kegagalan kerajaan menyiasat punca kekayaan Azam akan dilihat sebagai bukti kerajaan bersubahat untuk melindunginya.

"Oleh sebab itulah, saya menggesa kerajaan dengan segera mengumumkan secara terperinci hasil siasatan setakat ini untuk mengelakkan spekulasi, termasuklah jumlah saham yang dimiliki dan jumlah syarikat-syarikat yang terbabit," katanya.

Semalam, Fahmi, yang merupakan Menteri Komunikasi, memberitahu sidang media bahawa kabinet telah menerima dan membincangkan laporan oleh jawatankuasa kerajaan yang menyiasat pegangan saham Azam.

Fahmi, bagaimanapun, tidak mendedahkan butiran siasatan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS