Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Umno sedia batal gantung, tapi Hishammuddin kena hantar surat'

Umno sedia untuk membatalkan penggantungan keahlian Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein seperti mana kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti yang enggan namanya disiarkan berkata, bagaimanapun bekas naib presiden Umno itu perlu mengemukakan surat permohonan untuk kembali ke “Rumah Bangsa”.

"Seperti yang presiden nyatakan sebelum ini bahawa kita membuka pintu seluas-luasnya untuk mereka yang ingin kembali ke ‘Rumah Bangsa’ Umno.

"Jadi, sudah tentu datang sekali dengan kesediaan untuk membatalkan penggantungan serta menerima semula kemasukan ahli yang dipecat.

"Bagaimanapun perlu ikut tertib, hantar surat kepada parti dan saya kira tiada masalah semua itu," katanya kepada Malaysiakini.

Hishammuddin sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk kembali berjuang bersama Umno.

Ahli Parlimen Sembrong itu turut menyambut baik keterbukaan Ahmad Zahid untuk membuka pintu kepada mereka yang digantung ataupun dipecat kembali ke ‘Rumah Bangsa’.

Bagaimanapun kata Hishammuddin yang menjadi persoalan mengenai kedudukannya, apakah puncuk pimpinan parti itu menarik balik penggantungan keahliannya.

"Jika ikhlas pendirian pucuk pimpinan parti untuk menarik balik penggantungan terhadap diri saya, saya akan kembali terus berjuang demi parti Umno," katanya dalam satu hantaran video di akaun media sosial miliknya.

Sementara itu, seorang lagi sumber Umno mengesahkan mengenai kesedian pucuk pimpinan Umno untuk membatalkan penggantungan keahlian Hishammuddin.

Jelasnya, berdasarkan pengumuman oleh Ahmad Zahid, kedudukan Hishammuddin yang digantung keahliannya telah terbatal.

"Mengikut kefahaman saya bila presiden umumkan begitu secara automatik penggantungan keahliannya telah terbatal. Tapi, beliau perlulah kemukakan surat memohon untuk kembali kepada Umno," katanya lagi.

Umno menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun selepas MKT parti itu mengadakan mesyuarat pada pada hujung Jan 2023.

Turut dikenakan hukuman bersama Ahli Parlimen Sembrong itu bekas menteri terbabit ialah Timbalan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Shahril Hamdan Suffian, Noh Omar (bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang), Salim Sharif (bekas Ahli Parlimen Jempol) dan bekas Adun Tiram, Maulizan Bujang.

Noh bagaimanapun meminta agar Umno memecatnya.

Hishammudin dipecat selepas didakwa menghasut pemimpin Umno Sabah supaya meninggalkan parti itu.

Pada 16 Jan lalu, semasa menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno 2025, Ahmad Zahid mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas Rumah Bangsa sebagai usaha parti itu mengembalikan perpaduan antara ahli dalam parti tersebut, selain menyambut semula bekas ahli Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS