Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki ditemui maut dengan kesan tikaman di dada
Diterbitkan:  Mar 14, 2026 9:45 AM
Dikemaskini: 1:49 AM

Seorang lelaki tempatan ditemui maut dengan kesan tikaman di dada di sebuah unit rumah kedai di Petaling Jaya, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata mangsa yang berusia 50 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri oleh seorang lelaki, sebelum kejadian itu dilaporkan kepada polis kira-kira jam 2.20 petang.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan tikaman di bahagian dada dan prosedur bedah siasat mayat mangsa dijadualkan berlangsung hari ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dia juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya melalui talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail berkata seorang wanita warga emas kerugian lebih RM2 juta selepas terperdaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud.

Dia berkata polis menerima laporan daripada wanita berusia 66 tahun itu pada jam 11.16 pagi semalam.

Dalam laporan itu, kata Mohamad Lazim, wanita terbabit mendakwa diperdaya dengan skim pelaburan di bawah sebuah syarikat yang diperkenalkan seorang ejen pada 2023.

“Mangsa dijanjikan pulangan dividen sebanyak 10 peratus setiap tiga bulan. Terperdaya dengan janji tersebut, mangsa membuat beberapa transaksi bayaran secara berperingkat sehingga mencecah jutaan ringgit, namun langsung tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan," katanya dalam kenyataan.

Mohamad Lazim berkata mangsa kerugian sebanyak RM2,262,750.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS