Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPKM analisis semula stok bekalan makanan lepas Mei
Diterbitkan:  Mar 14, 2026 12:30 PM
Dikemaskini: 4:30 AM

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menganalisis semula stok bekalan makanan negara selepas Mei depan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Menterinya Mohamad Sabu berkata ketika ini bekalan makanan asas seperti beras, ayam serta sayur-sayuran berada pada tahap mencukupi sekurang-kurangnya hingga Mei, dan rakyat dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik.

“Kita (kerajaan) akan melihat perkembangan (stok bekalan) dari semasa ke semasa sehingga Mei ini.

“Kalau boleh kita harap perang itu ditamatkan dengan segera,” katanya selepas merasmikan Jualan Agro Madani Zon Kota Raja di Padang Rakyat Jalan Kebun, Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, Mohamad berkata kerajaan juga akan terus melakukan pemantauan bagi mengelakkan kewujudan kartel dalam rantaian stok bekalan makanan susulan ketidaktentuan global akibat konflik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan harga pasaran.

Katanya pemantauan rapi itu dilaksanakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan atau memanipulasi harga bekalan.

Menurut Mohamad kerajaan akan terus memantau perkembangan konflik di Asia Barat itu yang boleh mempengaruhi peningkatan harga minyak dunia dan seterusnya kos import makanan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata program Jualan Agro Madani anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Selangor dengan kerjasama 14 pertubuhan peladang kawasan dari seluruh negeri itu menawarkan pelbagai hasil pertanian dan produk agromakanan tempatan secara terus kepada pengguna.

Dia berkata program itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara serta membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.

“Pengunjung yang hadir berpeluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian seperti ayam segar, telur, daging, minyak masak, sayur-sayuran, buah-buahan serta produk industri asas tani dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran semasa,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS