Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menubuhkan lima pasukan melibatkan 10 anggota yang menyamar sebagai penumpang untuk mengesan pemandu bas yang melakukan kesalahan sepanjang Op Khas Aidilfitri dari 16 hingga 29 Mac ini.
Pengarahnya Mohd Zamri Samion berkata taktik penyamaran dengan menempatkan anggota di dalam bas ekspres bertujuan memastikan semua pemandu peka terhadap pemanduan ketika bertugas.
Katanya sebanyak 44 siri penyamaran akan dijalankan di laluan Kuala Terengganu-Pahang, Pahang-Kuala Terengganu, Kuala Terengganu-Kelantan, Kelantan-Kuala Terengganu, Kuala Terengganu-Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur-Kuala Terengganu.
"Kami juga akan melaksanakan strategi intensif dengan meletakkan kain rentang di beberapa lokasi untuk memastikan bukan hanya pemandu bas malah penumpang juga mempunyai persepsi akan ditangkap sekiranya melakukan kesalahan seperti tidak memakai tali pinggang keledar.
"Dari segi keselamatan bas, JPJ akan jalankan pemeriksaan di depoh-depoh bagi memastikan kenderaan tersebut dalam keadaan baik dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan," katanya di Jambatan Angkat dekat Kuala Terengganu malam tadi.
Mohd Zamri juga berkata sebanyak 22 penunggang motosikal termasuk seorang remaja perempuan berumur 17 tahun ditahan dalam Op Motosikal (Rempit) yang dilakukan malam tadi.
Katanya sejumlah motosikal juga disita atas pelbagai kesalahan termasuk melakukan pengubahsuaian ekstrem dan lesen kenderaan motor tamat tempoh.
"Ada sesetengah motosikal dicabut brek belakang untuk menambah kelajuan selain pengubahsuaian melibatkan model motosikal, blok enjin dan sebagainya... kenderaan yang diubah suai meningkatkan risiko kematian sekiranya berlaku kemalangan.
"Oleh sebab itu, JPJ Terengganu mengambil langkah meningkatkan Op Khas Motosikal bagi menjaga keselamatan dan memastikan pematuhan undang-undang dalam kalangan penunggang," katanya.
Mohd Zamri berkata antara 1 Jan hingga 11 Mac lalu JPJ Terengganu menyita 149 motosikal dan mengeluarkan 5,606 saman atas pelbagai kesalahan dalam Op Khas Motosikal.
- Bernama
