Penggubal dasar mungkin menilai keadaan terlebih dahulu sebelum menaikkan kadar faedah bagi mengekang inflasi berpunca daripada kesan konflik di Asia Barat serta lonjakan harga minyak, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Dia berkata demikian kepada Bernama bagi mengulas pandangan sesetengah pihak yang berpandangan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu menaikkan kadar faedah bagi mengawal inflasi.
Pada 5 Mac lepas Gabenor BNM Abdul Rasheed Ghaffour memberitahu Bernama, bank pusat itu sedang memantau rapat perkembangan global termasuk harga minyak, kemungkinan gangguan bekalan serta ketidaktentuan pasaran kewangan.
BNM dijangka memaklumkan penilaiannya lewat bulan ini.
“Pada pandangan saya, BNM akan melihat jika kejutan semasa ini akan memberi kesan ketara kepada pertumbuhan atau inflasi. Ada yang berpendapat BNM perlu menaikkan kadar faedah bagi mengekang inflasi.
“Saya percaya BNM akan meneliti punca inflasi. Isu utama di sini sama ada akan berlaku kekurangan bekalan minyak dan sama ada kerajaan akan melaraskan mekanisme subsidi semasa atau sebaliknya, yang pada masa ini dinikmati oleh semua peringkat pendapatan,” katanya.
Mohd Afzanizam berkata Malaysia berada pada kedudukan yang agak lebih baik kerana negara ini merupakan pengeluar minyak.
Malaysia terus mencatatkan lebihan dagangan dalam industri minyak dan gas – berjumlah RM18.2 bilion pada 2025 berbanding RM13.2 bilion pada 2024 – dengan sebahagian besarnya disokong oleh lebihan yang dicatatkan industri petroleum bertapis dan gas asli cecair (LNG).
“Fungsi subsidi kerajaan juga membantu mengurangkan kesan terhadap inflasi,” katanya.
Belanja untuk subsidi meningkat
Bagaimanapun, dia mencadangkan supaya subsidi bahan api dikaji semula sekiranya situasi semasa berterusan.
“Menerusi MyKad, kerajaan sewajarnya dapat menyasarkan penerima yang layak berdasarkan tahap pendapatan. Kita mendapati pengagihan subsidi Budi95 dengan penggunaan MyKad adalah berkesan.
“Mungkin peringkat seterusnya ialah menyasarkan subsidi berdasarkan tahap pendapatan, dengan golongan berpendapatan tinggi boleh dikecualikan daripada menerima subsidi bahan api,” katanya.
Mohd Afzanizam berkata risiko inflasi yang lebih tinggi semakin ketara, dan mengingatkan kenaikan harga juga boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi kerana isi rumah dan perniagaan cenderung mengurangkan perbelanjaan.
“Tiada penyelesaian yang sesuai untuk semua keadaan, namun kami melihat risiko penurunan pertumbuhan semakin meningkat. Oleh itu, kami tidak menyokong langkah pengetatan dasar monetari pada masa ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, perbelanjaan kerajaan untuk subsidi bahan api akan meningkat apabila harga minyak dunia melonjak.
Pada 2022, jumlah perbelanjaan bagi subsidi petroleum mencecah RM23.1 bilion apabila purata harga minyak mentah Brent berada pada AS$99.0 setong.
Perbelanjaan bagi subsidi petroleum susut kepada RM19.7 bilion pada 2024 apabila purata harga minyak Brent berada pada AS$79.9 setong.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata subsidi petrol bulanan kerajaan kini meningkat kepada RM2 bilion, manakala subsidi diesel menokok kepada RM1.2 bilion sebulan, menjadikan jumlah keseluruhan RM3.2 bilion sebulan, meningkat daripada RM700 juta sebelum ini.
Pilihan raya AS, Israel
Dalam sidang media selepas mesyuarat khas kabinet pada Jumaat lalu, Amir Hamzah berkata kerajaan sedang berusaha memperkukuh keterjaminan bekalan minyak Malaysia dan memastikan bekalan domestik kekal stabil susulan konflik di Asia Barat.
Menurutnya usaha untuk memperoleh bekalan baharu bagi menggantikan penggunaan oleh pengguna sedang dijalankan secara berterusan oleh Petronas dan syarikat minyak lain.
Mohd Afzanizam berkata oleh yang demikian, subsidi akan bergerak seiring dengan harga minyak antarabangsa.
Katanya pasaran mahu menyaksikan konflik yang meruncing di Asia Barat reda walaupun perkara itu kelihatan sukar buat masa ini.
Menurut Mohd Afzanizam AS perlu menanggung kos yang begitu besar bagi perang terbabit iaitu lebih AS$11.3 bilion bagi tempoh enam hari.
“Perkara itu tidak akan membawa impak positif menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS pada Nov ini. Israel juga akan mengadakan pilihan raya legislatif pada Okt. Mungkin pada satu ketika akan berlaku kompromi antara kedua-dua pihak,” katanya.

Dia berpandangan berkata buat masa ini, harga minyak mentah dijangka kekal tinggi dan pasaran sedang bergelut dengan realiti baharu apabila risiko geopolitik semakin ketara manakala kerajaan berusaha mencari tindak balas dasar yang sesuai.
Sesetengah ahli ekonomi bercakap mengenai kemungkinan harga minyak mentah mencecah AS$200 setong, angka yang sama pernah diunjur oleh seorang penganalisis Goldman Sachs semasa kejutan harga minyak pada 2008.
“Harga minyak mentah yang lebih tinggi akan menjadi tumpuan. Setakat ini, kedua-dua pihak (AS-Israel dan Iran) tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda untuk berundur. Oleh itu, harga minyak mentah yang tinggi dijangka berterusan,” katanya.
Banyak perlu dilakukan
Dia berkata keterjaminan tenaga merupakan nadi bagi masalah itu, dan langkah untuk memastikan kecukupan bekalan minyak kini menjadi keutamaan segera.
Walaupun perbincangan mengenai peralihan tenaga dan ekonomi mampan telah berlangsung di peringkat global namun, perkembangan terkini menunjukkan dunia masih mudah terjejas ekoran kejutan bekalan minyak.
Sehubungan itu, kata Mohd Afzanizam, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk mempercepat peningkatan bahagian tenaga boleh diperbaharu dalam campuran tenaga keseluruhan.
Berdasarkan data terkini Tenaga Nasional Bhd, arang batu dan gas menyumbang 92.4 peratus kepada jumlah campuran tenaga pada 2025 berbanding 96.0 peratus pada 2018, manakala tenaga solar dan hidro menyumbang 7.2 peratus pada 2025 berbanding 3.9 peratus pada 2018.
Pada masa sama, data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan pendaftaran kenderaan elektrik melonjak 105.7 peratus kepada 44,813 unit pada 2025 berbanding tahun sebelumnya.
Dalam dua bulan pertama tahun ini, JPJ melaporkan pendaftaran kenderaan elektrik meningkat 156.4 peratus kepada 9,874 unit daripada jumlah dalam tempoh yang sama pada 2025.
“Oleh itu, kemajuan yang dicapai adalah memberangsangkan namun, langkah itu perlu dipercepatkan,” katanya.
- Bernama
