Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Konflik Asia Barat: MTEN bincang langkah mitigasi jamin bekalan minyak gas esok

Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan diadakan esok di ibu negara untuk membincangkan impak konflik Asia Barat yang berpanjangan terhadap sektor pengangkutan, khususnya penerbangan, serta langkah mitigasi bagi menjamin bekalan minyak dan gas.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar atas) berkata mesyuarat yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan itu turut melibatkan beberapa kementerian lain yang berkaitan dan peserta industri.

“Kita mahu meneliti bekalan minyak dan langkah mitigasi untuk terus menjamin bekalan buat negara.

“Kita juga akan menumpukan industri yang terkesan dengan gangguan bekalan minyak global,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jualan Rahmah Kasih Sayang di Johor Bahru, hari ini.

Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata konflik yang berpanjangan itu dijangka menjejaskan bekalan minyak dan gas global, khususnya bagi penghantaran melalui Selat Hormuz yang menjadi antara laluan utama perdagangan tenaga dunia.

Beliau berkata sebarang gangguan pengeluaran di Iran atau di kawasan Timur Tengah juga akan memberi kesan terhadap bekalan beberapa komponen lain yang diimport oleh negara di seluruh dunia dan menjejaskan rantaian bekalan global.

“Gangguan terhadap minyak dan gas boleh dilihat daripada beberapa sudut. Pertama, kesan langsung kepada produk berasaskan petroleum seperti petrol, diesel dan pelbagai produk lain yang menggunakan minyak sebagai bahan asas,” katanya.

Beliau berkata banyak industri bergantung kepada minyak sama ada bagi proses pengeluaran atau pengedaran justeru gangguan bekalan boleh meningkatkan kos pembuatan.

“Apabila berlaku gangguan bekalan, keadaan itu akan menjejaskan kos pengeluaran bagi yang menggunakan minyak dalam proses input dan output,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata keadaan itu turut memberi implikasi kepada kos logistik, pengangkutan serta rantaian bekalan, yang seterusnya boleh mempengaruhi harga barangan.

Beliau tidak menafikan gangguan bekalan minyak dijangka memberi kesan kepada kadar inflasi negara.

“Walaupun tahun lepas kita kekal berdaya tahan dan mengekang inflasi pada sekitar 1.4 peratus untuk keseluruhan tahun 2025 namun, bagi bulan berikut dan seterusnya ini akan ada kesan inflasi kerana gangguan rantaian bekalan memandangkan kos input dan output berkaitan minyak meningkat,” katanya.

Konflik di Asia Barat kekal memuncak sejak 28 Februari lepas apabila Israel dan AS melancarkan serangan ke atas Iran yang kemudiannya mencetuskan serangan balas oleh Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.

Selat sempit yang terletak di antara Iran dan Oman itu merupakan antara laluan perkapalan paling penting di dunia bagi penghantaran minyak dan gas dengan sebahagian besar bekalan tenaga global melaluinya setiap hari.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS