Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno Kelantan batal rumah terbuka, sokong saranan jimat cermat PM
Diterbitkan:  Mar 16, 2026 9:27 AM
Dikemaskini: 1:27 AM

Umno Kelantan membatalkan penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri peringkat negeri tahun ini sebagai menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membudayakan amalan berjimat cermat.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata langkah itu sebagai persediaan mendepani sebarang kemungkinan krisis kewangan akibat situasi ekonomi dunia.

“Selain rumah terbuka, majlis berbuka puasa dirancang penghujung Ramadan turut ditangguhkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis moreh Ramadan bersama-sama pengamal media Kelantan di Kota Bharu malam tadi.

Pada 11 Mac, Anwar berkata semua kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri tahun ini sebagai langkah berjimat cermat susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri berkata keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri itu bertujuan memberi mesej jelas kerajaan komited mengambil pendekatan lebih sederhana dan berhemat dalam perbelanjaan.

Sementara itu, berhubung ekonomi negeri, Ahmad Jazlan berkata pertumbuhan ekonomi Kelantan masih pada tahap lemah jika tidak dibantu Kerajaan Persekutuan dan sektor swasta.

Beliau berkata keadaan pembangunan di Kelantan turut dibandingkan dengan negeri lain seperti Johor yang lebih maju, Pahang yang merekodkan pendapatan melebihi RM1 bilion dan Melaka yang berdaya maju sebagai negeri pelancongan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS