Menjawab soalan Timbalan Pendakwaraya, Azmi Ariffin, Mohd Zabri berkata beliau membuat kesimpulan tersebut selepas meneliti aspek audio dan visual kedua-dua versi - lapan minit dan 14 minit - klip video tersebut.

“Analisa saya mendapati pergerakan objek-objek yang dirakam adalan konsisten dan tulen. Jika ianya diubah atau disunting, ia akan ditunjukkan pada pikselnya.

“Fail audio yang diambil dari video tersebut juga konsisten dan tidak disunting, oleh itu ia boleh disimpulkan bahawa tiada tambahan suara (dubbing) dibuat," katanya.

Isu ketulenan klip video Lingam menjadi isu utama sejak skandal tersebut didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 September tahun lalu.

Kerajaan telah menubuhkan panel tiga anggota untuk menyiasatnya. Ini diikuti dengan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja ekoran perakuan dari panel tersebut.

Dalam keterangannya, Zabri juga berkata, ujian makmal yang dijalankan di Madrid, Sepanyol, telah membuktikan bahawa satu sampel rambang yang dilabel ‘Voice Sample 2' didapati sepadan dengan yang terdapat dalam video tersebut.

Pegawai penguatkuasa Badan Pencegah Rasuah (BPR), Wan Zulkifli Wan Jusoh, dalam keterangannya sebelum ini, memberitahu suruhanjaya tersebut bahawa ‘Voice Sample 2' disahkan sebagai suara peguam Datuk VK Lingam’s (kiri).

Jawapan 'membingungkan'

Berikutan itu, anggota suruhanjaya tersebut, Datuk Mahadev Shankar meminta kepada peguam Lingam - R Thayalan - mendedahkan pendirian pelanggannya, benar atau tidak beliau (Lingam) adalah orang dalam video tersebut.

Thayalan berkata: “Saya tidak menerima arahan dari pelanggan saya berhubung perkara ini. Apa yang diberitahu beliau kepada saya ialah orang dalam video itu kelihatan seperti beliau dan suaranya sama seperti suara beliau."

Jawapan itu membuat hadirin ketawa, dan Mahadev berkata, beliau 'bingung' dengan jawatan tersebut kerana pendirian Lingam mengenai perkara itu mesti dipastikan bagi mempercepatkan prosiding.

Thayalan tidak dapat memberi jawapan dan sebaliknya meminta suruhanjaya tersebut menunggu sehingga Lingam dipanggil untuk memberi keterangan. Prosiding yang diadakan di premis Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersambung esok.

Anwar dan Naib Presiden PKR, R Sivarasa dijangka memberi keterangan esok. DPP Azmi juga memaklumkan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga dijadualkan memberi keterangan.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, membidas suruhanjaya diraja itu kerana tidak terus memanggil Lingam sebagai saksi pertama.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pengakuan Lingam berhubung ketulenan klip video tersebut akan menyelamatkan masa dan wang.

Di samping itu, katanya, ia juga tidak memerlukan testimoni seperti dari pakar dari makmal swasta di Madrid untuk mengesahkan suara dalam klip video itu sepadan dengan suara Lingam.

Lim berkata, bukti-bukti untuk memastikan ketulenan klip video itu hanya diperlukan jika Lingam mencabarnya, dalam hal tersebut, Lingam tidak boleh menjadi saksi sehingga suruhanjaya tersebut dapat menyelesaikan ketulenan klip video tersebut berdasarkan semua testimoni yang ada.

Apabila ketulenan kilp video disahkan, kata Lim, suruhanjaya diraja itu boleh mempercepatkan urusan yang lebih penting, iaitu untuk menentukan sama ada mereka yang disebut dalam klip video itu telah melakukan sebarang kesalahan dan berdepan dengan hukuman.

“Sekiranya Lingam mengeluar penafian terhadap ketulenan klip video tersebut... dan suruhanjaya diraja itu mencapai kesimpulan bahawa klip video itu tulen, maka ia mesti mengenakan hukuman maksima yang ada padanya terhadap Lingam," katanya.