Pengerusi MIC Johor Datuk KS Balakrishnan berkata beliau sedia membantu polis sekiranya diminta memberi keterangan berhubung pembunuhan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor kawasan Tenggaroh Datuk S. Krishnasamy Jumaat lalu.

Balakrishnan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor, berkata beliau belum dipanggil oleh polis untuk memberi keterangan selepas seorang pembantunya berusia lingkungan 60-an ditahan semalam sebelum dibebaskan kemudian.

"Kalau dipanggil saya memang sedia," katanya kepada pemberita pada majlis penerangan mengenai isu berkaitan harga barang dan isu kepenggunaan semasa oleh oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Mohd Shafie Apdal di Johor Bahru, hari ini.

Krishnasamy, 61, yang juga Timbalan Pengerusi MIC Johor, mati ditembak dalam lif di bangunan MIC di Jalan Segget.

Menurut laporan Bernama, Balakrishnan berkata beliau belum sempat menemui pembantunya selepas dia dibebaskan.

Polis juga dilaporkan menahan seorang pekerja kepada mendiang Krishnasamy bagi membantu siasatan kes pembunuhan ahli politik berusia 62 tahun itu.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Krishnasamy ditemui mati dalam lif Bangunan MIC di Jalan Segget dengan kesan satu das tembakan di bawah kening kirinya.

Tembakan itu menembusi belakang kepalanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang melawat lokasi pembunuhan tersebut kelmarin memaklumkan, setakat ini pihak polis hanya mengenal pasti seorang suspek lelaki terlibat dalam kejadian itu.

Lelaki itu dilihat melarikan diri menggunakan motosikal Yamaha RXZ berwarna merah menghala ke Jalan Wong Ah Fook sejurus Krishnasamy ditembak pada jam 2.10 petang.