Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pengikut Tarekat Syattariyah di Aceh sambut Aidilfitri hari ini

Ribuan pengikut Tarekat Syattariyah di Aceh, Indonesia menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Khamis, lebih awal daripada tarikh rasmi yang ditetapkan kerajaan.

Tarekat Syattariyah menggunakan kaedah tradisional tersendiri untuk menentukan kalendar Islam.

Sambutan itu berlangsung di Kabupaten Nagan Raya, apabila pengikutnya menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Peuleukung di Kecamatan Seunagan Timur selepas berpuasa selama 30 hari.

Bupati Nagan Raya Teuku Raja Keumangan berkata kumpulan itu menentukan tarikh Aidilfitri menggunakan sistem pengiraan tradisional dikenali sebagai “Hisab Bilangan Lima”, yang telah diamalkan di kawasan itu sejak lebih 200 tahun lalu.

“Kaedah ini digunakan secara turun-temurun di Nagan Raya,” katanya, menurut Agensi Berita ANTARA pada Khamis.

Beliau berkata perbezaan dalam penentuan tarikh Aidilfitri adalah perkara biasa di Indonesia kerana terdapat kumpulan Islam yang bergantung kepada cerapan anak bulan, manakala yang lain menggunakan kaedah hisab.

Menurut beliau, sambutan lebih awal itu mencerminkan tradisi keagamaan yang telah lama diamalkan di Aceh, khususnya di Kabupaten Nagan Raya dan masih diteruskan sehingga hari ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS