Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Padang Terap catat suhu 37 - 40 darjah Celsius, 12 lain tahap berjaga-jaga
Diterbitkan:  Mar 22, 2026 10:02 AM
Dikemaskini: 2:02 AM

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap dua atau gelombang haba bagi daerah Padang Terap, Kedah.

Menurut MetMalaysia, suhu maksimum harian di kawasan itu dijangka mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Selain Padang Terap, sebanyak 12 kawasan lain di Semenanjung Malaysia kini diletakkan di bawah status tahap satu atau berjaga-jaga.

Kawasan itu melibatkan Perlis dan Kedah (Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu).

Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Timur Laut (Pulau Pinang), Hulu Perak (Perak) dan Rembau (Negeri Sembilan).

“Kebanyakan kawasan lain di Semenanjung berada pada paras normal dengan suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah Celsius,” kata jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

Status berjaga-jaga dikeluarkan apabila sesebuah kawasan merekodkan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh tiga hari berturut-turut.

Dalam perkembangan berasingan, MetMalaysia turut melaporkan kejadian gempa bumi sederhana bermagnitud 5 yang melanda Barat Daya Sumatera, Indonesia pada jam 2.08 pagi tadi.

Pusat gempa dikesan pada kedalaman 121 kilometer (km), namun tiada ancaman tsunami dilaporkan kepada Malaysia.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai status cuaca panas harian melalui portal rasmi MetMalaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS