Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
48 jam untuk Iran: Trump sasar loji tenaga terbesar
Diterbitkan:  Mar 22, 2026 10:19 AM
Dikemaskini: 2:33 AM

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Sabtu mengancam untuk “memusnahkan” loji tenaga Iran, bermula dengan yang terbesar, sekiranya Tehran tidak membuka Selat Hormuz dalam tempoh 48 jam.

“Jika Iran tidak membuka sepenuhnya, tanpa ancaman, Selat Hormuz dalam tempoh 48 jam dari sekarang, AS akan menyerang dan memusnahkan pelbagai loji tenaga mereka, bermula dengan yang terbesar,” tulis Trump di platform media sosialnya, Truth Social, menurut Anadolu Ajansi.

Dia membuat kenyataan itu pada 7.44 malam waktu Timur AS, yang bermakna tarikh akhir yang diberikan adalah sehingga lewat Isnin.

Bagaimanapun, Trump tidak menyatakan loji mana yang dimaksudkan sebagai yang terbesar.

Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata pada Jumaat bahawa Iran tidak akan bertolak ansur jika infrastrukturnya diserang.

Trump sebelum ini memberitahu PBS bahawa beliau sengaja tidak menyasarkan loji tenaga di Istanbul kerana tindakan itu boleh menyebabkan kerosakan berpanjangan dan “trauma” kepada penduduk awam. Ugutan terbaharu itu dilihat sebagai peningkatan ketara dalam retoriknya.

Selat Hormuz dilaporkan telah mengalami gangguan sejak awal Mac, sekali gus mendorong kenaikan harga minyak. Kira-kira 20 juta tong minyak melalui laluan itu setiap hari, menjadikannya antara laluan tenaga paling penting di dunia.

Serangan AS-Israel ke atas Iran bermula pada 28 Feb dan telah berkembang menjadi konflik serantau yang lebih luas.

- Bernama-Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS