Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Padah gerai mercun terbakar: Lima laporan polis dibuat, permit ditarik
Diterbitkan:  Mar 23, 2026 11:53 AM
Dikemaskini: 4:38 AM

Polis telah memulakan siasatan berhubung kejadian kebakaran sebuah gerai jualan mercun dan bunga api di Taman Pekaka, Nibong Tebal, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata pihaknya telah menerima lima laporan berkenaan insiden kebakaran tersebut setakat ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan cuai melibatkan bahan letupan. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada awal pagi Ahad, sebuah gerai menjual pelbagai jenis mercun di Taman Pekaka, musnah dalam kebakaran yang turut melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 yang musnah 90 peratus dan tiga unit penyaman udara di bahagian luar sebuah rumah berhampiran gerai itu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengesahkan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu, yang videonya turut tular di media sosial dengan pelanggan di sebuah restoran berhampiran bertempiaran lari bagi mengelak daripada terkena percikan bunga api dan mercun yang memasuki restoran berkenaan.

Sementara itu, Datuk Bandar Seberang Perai Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah menarik balik serta-merta permit gerai terlibat dan menjalankan pemantauan ke atas gerai lain yang menjual mercun di kawasan sekitar.

Beliau berkata gerai berkenaan didapati mempunyai permit sah yang diluluskan MBSP bagi tempoh 19 Feb hingga 24 Mac 2026.

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM). Laporan rasmi akan dikemas kini setelah siasatan selesai,” katanya.

Bagi mengelakkan kejadian berulang, Baderul Amin berkata MBSP akan memperketatkan syarat permit termasuk mewajibkan penyediaan alat pemadam api di setiap gerai dan perlindungan insurans yang sah selain menambah syarat keselamatan lain yang bersesuaian dari semasa ke semasa.

Beliau berkata MBSP memandang serius kejadian ini dan komited untuk memastikan tahap keselamatan awam sentiasa terjamin melalui pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih ketat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS