Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendang, Baling dilanda gelombang haba tahap dua
Diterbitkan:  Mar 23, 2026 8:02 PM
Dikemaskini: 12:02 PM

Daerah Pendang dan Baling di Kedah menjadi kawasan terbaharu dilanda gelombang haba atau cuaca panas tahap dua, dengan suhu maksimum harian mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius setakat 4 petang tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa status cuaca panas di Padang Terap, Kedah juga kekal pada tahap dua.

Menurut MetMalaysia, sebanyak 15 kawasan lain di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap Satu (berjaga-jaga) termasuk seluruh Perlis, Kuala Lumpur serta daerah Sik, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah.

"Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Timur Laut dan Utara di Pulau Pinang, selain Hulu Perak, Selama, Kinta dan Kuala Kangsar di Perak," menurut kenyataan itu.

MetMalaysia menjelaskan gelombang haba tahap dua berlaku apabila suhu harian berada antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut, manakala tahap berjaga-jaga dicatat apabila suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tempoh sama.

Orang ramai boleh merujuk status cuaca panas terkini di laman web rasmi MetMalaysia di https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS