Paling Popular
Terkini
story images
story images

Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif pada Isnin menyatakan solidariti terhadap Iran ketika negara itu terus berdepan serangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Shehbaz bercakap dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian bagi menyampaikan ucapan sempena Aidilfitri dan perayaan Nowruz kepada beliau.

“Sebagai negara jiran yang bersaudara, saya menyatakan solidariti Pakistan terhadap rakyat Iran yang berani, menyampaikan ucapan takziah mendalam atas kehilangan nyawa serta mendoakan agar mereka yang cedera dan kehilangan tempat tinggal segera pulih,” kata Shehbaz dalam satu hantaran di platform X.

“Kami membincangkan situasi serius di rantau Teluk dan bersetuju mengenai keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan, dialog dan diplomasi. Saya juga menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan ummah serta menegaskan semula komitmen Pakistan untuk memainkan peranan konstruktif dalam memajukan keamanan di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Pakistan sedang bekerjasama dengan pemain utama serantau untuk meredakan ketegangan walaupun serangan berterusan oleh AS dan Israel dijangka mencetuskan tindak balas lanjut oleh Iran terhadap kedua-dua pihak itu serta aset mereka di rantau berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar pada Isnin turut bercakap dengan Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan mengenai perkembangan situasi serantau, menurut Kementerian Luar Pakistan.

“Kedua-dua pemimpin meneliti perkembangan terkini di rantau ini, termasuk pengumuman terbaharu oleh Presiden AS mengenai penghentian sementara permusuhan,” menurut kenyataan itu di platform X, merujuk kepada pengumuman Donald Trump sebelum ini bahawa beliau telah meminta tentera AS menangguhkan selama lima hari serangan ke atas loji tenaga dan infrastruktur tenaga Iran.

Dar dan rakan sejawatnya dari Iraq Fuad Hussein turut membincangkan peperangan itu menerusi perbualan telefon dan menyatakan kebimbangan terhadap implikasi lebih luas konflik berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS