Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM beri amaran pihak berpengaruh jangan campur urusan polis
Diterbitkan:  Mar 25, 2026 5:27 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengeluarkan amaran keras kepada pihak-pihak yang berpengaruh supaya tidak mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), terutama membabitkan sindiket jenayah berskala besar.

Katanya, kecenderungan pihak tertentu yang cuba melindungi individu atau kumpulan berpengaruh sebelum ini hanya menyukarkan tugas pasukan keselamatan itu dalam menguatkuasakan undang-undang.

“Jangan ada campur tangan menghalang tindakan oleh PDRM dan badan penguat kuasa. Kadang-kadang yang melindungi itu orang-orang berpengaruh. Ini menyukarkan kerja PDRM.

“Saya memberikan satu arahan yang sangat jelas, kalau benar kita mahu bertindak, kita juga memberikan nasihat kepada semua yang lain agar jangan sesekali menghalang," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.

Anwar turut merakamkan penghargaan atas keberanian PDRM yang kini dilihat lebih agresif menumpaskan sindiket haram dan perasuah besar yang sebelum ini seolah-olah ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang selama puluhan tahun.

“Syukur kerana saya lihat ada ketegasan dan keberanian bertindak, bukan sahaja kepada perasuah kecil tetapi perasuah besar yang bermaharajalela selama puluhan tahun tetapi tidak pernah berani disentuh.

“Sindiket-sindiket haram yang besar ini telah lama terpendam dalam sistem kita dan saya ucap tahniah kerana (PDRM) berjaya mematahkannya hasil profesionalisme, tekad, dan keberanian," katanya.

Menurutnya, di bawah kerangka Negara Madani, kerajaan komited memastikan undang-undang tidak lagi dirangka atau dilaksanakan hanya untuk memihak kepada kelompok tertentu yang mempunyai kuasa dan harta.

Sehubungan dengan itu, Anwar menggesa warga PDRM supaya terus meningkatkan tahap profesionalisme dan integriti sebagai prasyarat utama dalam memacu transformasi negara.

Dia berkata keamanan yang dikecapi hasil pengorbanan pasukan keselamatan adalah asas penting yang membolehkan kerajaan menumpukan usaha terhadap reformasi ekonomi, agenda teknologi maklumat (IT) serta transformasi digital.

"Tugas kita adalah memperingati jasa khidmat yang lepas dan meletakkan satu garis panduan hala tuju baharu untuk meningkatkan tahap profesionalisme serta integriti pasukan polis.

“Dalam mana-mana pembaharuan atau reformasi, agenda itu bermula dengan prasyarat keamanan. Sebagai rakyat, kita harus dizahirkan penghargaan setinggi-tingginya atas khidmat, pengorbanan, dan kesetiaan PDRM sehingga Malaysia diiktiraf antara negara paling aman di dunia," katanya.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail dan timbalannya Ayob Khan Mydin Pitchay serta pengarah-pengarah Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS