Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menumpaskan satu sindiket penyelewengan petrol RON95 selepas menahan tiga lelaki tempatan dalam satu operasi di Pengkalan Hulu, dekat Gerik, tengah hari semalam.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata Ops Tiris yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Gerik itu berjaya menahan tiga kenderaan yang disyaki diubah suai pada tangki asal untuk tujuan penyelewengan petrol.
“Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah dengan mengisi petrol di beberapa stesen minyak berhampiran secara berulang kali sebelum keluar masuk ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata selain penahanan kesemua lelaki berumur antara 60 hingga 70 tahun itu, pihaknya merampas tiga kenderaan terbabit dan 450 liter petrol RON95 yang disimpan dalam tangki, dengan keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM15,741.50.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki atau menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan KPDN.
“KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan dan akan mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah.
“KPDN akan mempergiat penguatkuasaan melalui inisiatif KITA GEMPUR sebagai langkah strategik bagi membanteras penyelewengan barang kawalan serta pelbagai bentuk manipulasi perniagaan,” katanya.
- Bernama
