Pengoperasian sekolah di daerah Kota Setar dan Pendang akan dilaksanakan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama tiga hari bermula esok hingga Selasa.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia yang menunjukkan tahap suhu harian Tahap 2 telah direkodkan selama tiga hari berturut-turut dari 26 hingga 28 Mac di kedua-dua daerah.
“Selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan berkaitan pengoperasian institusi pendidikan semasa cuaca panas, PdPR akan dilaksana bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid, guru serta warga sekolah sentiasa terpelihara.
“Pelaksanaan ini melibatkan keseluruhan 206 sekolah di bawah selian Pejabat Pendidikan Daerah Kota Setar dan Pendang... sepanjang tempoh pelaksanaan PdPR itu, sekiranya cuaca menunjukkan perubahan kepada tahap normal maka pengoperasian sekolah secara bersemuka akan diteruskan semula pada hari berikutnya berdasarkan penilaian semasa,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa JPN Kedah akan terus memantau perkembangan cuaca semasa dan memaklumkan sebarang maklumat lanjut pengoperasian sekolah dari semasa ke semasa.
“Semua pihak termasuk pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan penjaga dimohon untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam memastikan kelancaran pelaksanaan PdPR demi kesejahteraan murid,” katanya.
- Bernama
