Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Empat daerah di Kedah catat gelombang haba tahap 2 setakat pagi ini
Diterbitkan:  Mar 29, 2026 11:14 AM
Dikemaskini: 3:14 AM

Empat daerah di Kedah, iaitu Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Baling merekodkan gelombang haba Tahap 2 setakat 6 pagi tadi.

Berdasarkan data dikemas kini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), beberapa kawasan lain di Kedah pula merekodkan cuaca panas Tahap 1 (berjaga-jaga) melibatkan Bandar Baharu, Kulim, Kuala Muda, Pulau Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap dan Sik.

Status cuaca panas Tahap 1 turut direkodkan di seluruh Perlis, Seberang Perai Utara di Pulau Pinang serta Kinta, Kuala Kangsar dan Hulu Perak di Perak.

Cuaca panas Tahap 2 atau gelombang haba merujuk kepada suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celcius manakala Tahap 1 antara 35 hingga 37 darjah Celcius.

Kedua-dua tahap direkodkan apabila suhu berkenaan berlaku bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Semalam, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah memaklumkan pengoperasian sekolah di Kota Setar dan Pendang dilaksanakan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama tiga hari bermula hari ini.

Keputusan itu berdasarkan laporan MetMalaysia yang menunjukkan tahap suhu harian Tahap 2 telah direkodkan selama tiga hari berturut-turut dari 26 hingga 28 Mac di daerah tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS