mk-logo
Berita
Jabatan Perang Amerika bersiap operasi darat di Iran
Diterbitkan:  Mar 29, 2026 12:11 PM
Dikemaskini: 4:13 AM

Ibu Pejabat Jabatan Perang Amerika Syarikat (Pentagon) sedang bersiap sedia untuk kemungkinan operasi darat selama berminggu-minggu di Iran ketika ribuan tentera negara itu dikerahkan ke Asia Barat, sementara menunggu keputusan Presiden Donald Trump, lapor Anadolu Ajansi, memetik Washington Post pada Sabtu.

Pegawai berkata rancangan itu boleh menandakan "fasa baharu perang" yang mungkin "lebih berbahaya" bagi tentera AS berbanding empat minggu pertama pertempuran, menurut Washington Post.

Mana-mana misi darat akan gagal mencapai pencerobohan berskala penuh dan boleh melibatkan serbuan oleh pasukan Gerakan Khas dan infantri konvensional, menurut pegawai yang tidak mahu namanya disiarkan.

Pegawai berkenaan berkata operasi itu boleh mendedahkan tentera kepada "dron dan peluru berpandu, tembakan darat dan bahan letupan buatan".

“Menjadi tugas Pentagon untuk membuat persiapan untuk memberi Ketua Komander pilihan maksimum,” akhbar itu memetik jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt.

"Ia tidak bermakna presiden telah membuat keputusan."

Perbincangan meliputi kemungkinan operasi yang menyasarkan Pulau Kharg, hab eksport minyak utama Iran dan serbuan pantai berhampiran Selat Hormuz untuk meneutralkan ancaman terhadap perkapalan.

Pegawai berkata kemungkinan misi boleh berlangsung "berminggu, bukan berbulan" lamanya, sementara yang lain menganggarkan "beberapa bulan".

Trump sebelum ini berkata, "Saya tidak menempatkan tentera di mana-mana," manakala Setiausaha Negara Marco Rubio menyatakan bahawa ia "tidak akan menjadi konflik yang berpanjangan" dan boleh mencapai objektif "tanpa tentera darat".

Sebanyak 13 tentera AS terkorban dan lebih 300 cedera dalam serangan di seluruh wilayah sejak perang bermula pada akhir Februari, kata pegawai.

Tinjauan pendapat awam menunjukkan 62 peratus menentang mengerahkan tentera darat ke Iran manakala 12 peratus menyokong langkah itu.

Penganalisis tentera Michael Eisenstadt memberi amaran tentang risiko, berkata: "Saya tidak mahu berada di tempat kecil itu dengan keupayaan Iran untuk menghujani anda dengan dron."

Beliau menambah mobiliti adalah sangat penting sambil menyatakan, "Ketangkasan adalah sebahagian daripada pertahanan pasukan anda.”

Ketegangan serantau terus meningkat sejak Israel dan AS melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb, membunuh lebih 1,300 orang setakat ini termasuk Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu Ali Khamenei.

Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.

Konflik menyebabkan kecederaan dan kerosakan pada infrastruktur serta menjejaskan pasaran global dan penerbangan.

— Bernama-Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS