Selepas beberapa bulan dilanda cuaca panas dan kering, beberapa kawasan di Kedah mula menerima hujan petang tadi antaranya daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan Kuala Muda sekali gus membawa kelegaan kepada penduduk setempat.
Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah Muhammad Khalil Abdul Aziz berkata hampir semua daerah di negeri itu, kecuali Langkawi dan Bandar Baharu, mengalami hujan atau ribut petir pada sebelah petang.
Beliau berkata keadaan itu selari dengan fasa peralihan monsun yang lazimnya membawa hujan atau ribut petir pada waktu berkenaan.
“Ada beberapa kawasan dan daerah telah menerima hujan hari ini seperti yang dijangkakan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sehubungan dengan itu, Muhammad Khalil menasihati orang ramai supaya peka terhadap perubahan cuaca dan merujuk laman sesawang atau media sosial MetMalaysia untuk mendapatkan maklumat terkini.
Sementara itu, Sayuti Wan Chik yang menetap di Titi Gajah di sini melahirkan rasa syukur apabila kawasan kediamannya mula menerima hujan.
“Alhamdulillah, petang ini Titi Gajah hujan... walaupun hanya beberapa minit, memang terasa nikmatnya kerana dapat mengurangkan sedikit suhu panas,” katanya.
Terdahulu, MetMalaysia menerusi kemas kini status cuaca panas di Facebook memaklumkan sembilan daerah di Kedah berada pada Tahap 1 (Berjaga-jaga) setakat 4 petang tadi.
Daerah terbabit ialah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Padang Terap, Langkawi, Kuala Muda, Sik dan Baling.
Tahap berjaga-jaga ialah apabila suhu maksimum harian mencapai antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
- Bernama
