Pemuda PAS Malaysia hari ini menawarkan bantuan guaman kepada waris seorang lelaki yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya dipercayai berpunca daripada pemandu mabuk.
Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata kematian lelaki terbabit “mesti dibela” dan kejadian kemalangan melibatkan kes pengaruh arak perlu dihentikan segera.
Katanya, dalam kes yang berlaku semalam itu, lelaki terbabit dikatakan dalam perjalanan membeli makanan untuk isteri dan anak mereka.
“Dewan Pemuda PAS Malaysia sedia menawarkan khidmat guaman secara sukarela kepada keluarga mangsa pemandu mabuk untuk tuntutan undang-undang yang seadilnya!
“Kematian mangsa mesti dibela! Kes pemandu mabuk yang melanggar dan membunuh nyawa yang tak berdosa mesti dinoktahkan segera!” katanya dalam kenyataan di media sosial pagi ini.
Ahli Parlimen Alor Setar itu merujuk kejadian berlaku pagi semalam di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor.
Menurut polis, kemalangan itu berlaku apabila seorang pemandu Honda City memandu secara laju dan berbahaya menuju ke arah bandar raya Klang.
Kata polis, lelaki tempatan berusia 20-an itu memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah motosikal menyebabkan penunggangnya tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Lim Jit Huey, berkata ujian saringan mendapati pemandu terbabit positif alkohol dan dadah. Dia sudah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Menurut Afnan Hamimi, Pemuda PAS mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka tabah menghadapi ujian tersebut.
“Ada isteri hilang suami dan anak yang hilang ayah kerana tindakan bodoh seorang pemabuk yang memandu kenderaan secara berbahaya,” katanya.
