PAS menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil tindakan undang-undang terhadap Bloomberg susulan laporan terbarunya berhubung dakwaan berkaitan siasatan ke atas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata kerajaan perlu bertindak jika laporan itu tidak benar, termasuk memfailkan saman di mahkamah.
"Nah, ini kali ke berapa Bloomberg siarkan artikel membagkitkan persoalan ketelusan kerajaan Madani secara terbuka. Tak malukah kerajaan Madani di bawah pimpinan PMX (Anwar) dihadapkan pendedahan demi pendedahan ini?
"Artikel ini lebih berani lagi menyatakan bahawa individu yang disiasat masih berpotensi diberikan laluan ke jawatan lain seperti senator selepas tamat tempoh perkhidmatan. Ini tentunya menghantar mesej yang salah kepada rakyat.

“Kerajaan wajib jawab, jika ia fitnah lakukan tindakan. Saman dan dakwa Bloomberg! Kenapa takut? Jika benar laporan sudah siap, kenapa tangguhkan,” soalnya pada hantaran di Facebook hari ini.
Ini susulan laporan Bloomberg yang memetik sumber mendakwa Anwar meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan berkaitan isu pemilikan saham Azam.
Menurut laporan itu, penangguhan dibuat sehingga satu lagi siasatan berasingan dikaitkan dengan dakwaan “mafia korporat” selesai, dengan menyebut Anwar bimbang ia boleh menjejaskan kedudukan kerajaan sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.
Pada 10 Feb lalu, Bloomberg melaporkan Azam memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.

Laporan itu kemudian disahkan Malaysiakini melalui rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Nilai pegangan saham itu dianggarkan hampir RM800,000, melebihi had pemilikan saham yang dibenarkan kepada penjawat awam.
Bagaimanapun, Azam menegaskan pegangan saham berkenaan dibuat secara telus dan diisytiharkan mengikut peraturan.
Dakwaan ‘mafia korporat’, SPRM nafi
Pada 12 Feb, Bloomberg turut melaporkan dakwaan bahawa pegawai SPRM bersekongkol dengan pihak tertentu dalam usaha pengambilalihan korporat.
Laporan itu mendakwa wujud taktik menggunakan aduan kepada SPRM bagi menekan syarikat sasaran sebelum diambil alih.
SPRM bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah yang menjejaskan reputasi agensi itu.

Kerajaan kemudian menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat dakwaan berkenaan.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata jawatankuasa itu dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.
Pada 3 Mac lalu, Anwar memaklumkan laporan siasatan dijangka siap dalam masa beberapa hari.
Namun, sehingga kini hasil siasatan tersebut belum didedahkan kepada umum.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman (gambar atas) pada hantaran di media sosial turut menuntut kerajaan mendedahkan hasil siasatan demi kepentingan awam dan membersihkan nama SPRM.
“Tiada apa yang perlu ditakutkan. Tiada apa yang perlu disembunyikan.
"Jika dahulu.. kronisme, nepotisme, rasuah, salah guna kuasa, itu yang ditentang.
“Hari ini.. ‘corporate mafia’, ‘bail-out’, ‘money-laundering’, ‘sakau’ ‘wang perlindungan’; itu yang ditayang,” kata Syahir yang juga setiausaha politik kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
