Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mara jadikan dua anak mangsa 'pemandu mabuk' anak angkat
Diterbitkan:  Apr 1, 2026 11:45 AM
Dikemaskini: 4:30 AM

Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengambil keputusan untuk menjadikan dua anak kepada mangsa kemalangan maut di Jalan Raya Barat, Klang, sebagai anak angkat di bawah Yayasan Pelajaran Mara (YPM).

Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki berkata inisiatif tersebut bertujuan memastikan kebajikan dan kelangsungan pendidikan Aqif dan Atif, anak kepada Allahyarham Mohd Amirul Hafiz, 33, yang maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu individu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, Ahad lalu.

Menerusi satu hantaran di media sosial, pemimpin Umno itu berkata, komitmen tersebut merupakan bantuan jangka panjang yang merangkumi pemberian elaun bulanan bagi meringankan beban keluarga mangsa.

“Ini bukan sekadar bantuan sementara, tetapi satu komitmen jangka panjang bagi memastikan pendidikan mereka terus terbela.

“Bantuan elaun bulanan sebanyak RM120 seorang akan disalurkan di peringkat sekolah rendah dan ditingkatkan kepada RM150 apabila mereka melangkah ke sekolah menengah disertai pemantauan berterusan sehingga mereka menamatkan persekolahan,” katanya.

Asyraf juga memaklumkan bahawa Allahyarham Mohd Amirul meninggalkan tiga orang anak yang masih kecil, dengan dua orang sedang bersekolah rendah manakala seorang lagi baru berusia 2 tahun.

“Tragedi ini bukan sahaja meragut nyawa seorang bapa tetapi meninggalkan luka yang amat mendalam buat seluruh keluarga.

“Kehilangan ini bukan sekadar kehilangan seorang insan tetapi hilangnya tempat bergantung buat anak-anak yang masih kecil,” katanya.

Terdahulu, tular insiden menyayat hati yang melibatkan sebuah kereta Honda City merempuh mangsa sehingga mengakibatkan bapa kepada tiga anak itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut isteri mangsa, Nor Nadia Abdul Majid, 32, suaminya yang bekerja sebagai penghantar barang, sebenarnya ketika kejadian sedang dalam perjalanan untuk tugasan ringkas - membeli buku matematik untuk anak.

“Dia kata nak pergi beli buku matematik abang long sebab buku itu hilang. Dia risau anak tak boleh belajar.

“Dia memang dah beberapa hari sebut nak pergi beli,” kata isterinya itu.

Ketua Umno Bahagian Larut Mohammad Daud Mohd Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif YPM Faisalludin Mohamat Yusuff hadir mewakili pihak pengurusan Mara untuk menziarahi keluarga mangsa di Klang bagi menghulurkan bantuan awal pagi tadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS