Penguatkuasaan sekatan pembelian petrol RON95 menggunakan kad kredit dan kad debit asing di terminal layan diri pam minyak dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara mulai hari ini.
Langkah terbaharu itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan bagi memperkasa mekanisme pemberian subsidi bahan api itu di Malaysia susulan krisis tenaga global.
Tinjauan di beberapa negeri khususnya yang bersempadan dengan negara jiran mendapati Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) giat melaksanakan operasi penguatkuasaan dan pemantauan di stesen minyak.
Selain operasi pemantauan, pengusaha stesen minyak juga dilihat sudah bersedia selain mematuhi peraturan berkaitan sekatan penjualan petrol RON95 menggunakan kad kredit dan kad debit asing di terminal layan diri.
Di SARAWAK, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam turut melakukan tinjauan pelaksanaan peraturan baharu itu di Tasik Biru, Bau, yang terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar raya Kuching.
Beliau berkata kerjasama yang diberikan oleh pengusaha stesen minyak termasuk di Sarawak terhadap pelaksanaan kawalan pengisian petrol dan diesel adalah sangat baik.
Dalam masa sama, beliau berkata terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat kepada orang ramai berhubung larangan terbaharu itu.
"Antara cadangan termasuk memperbesar paparan arahan berkaitan had pengisian petrol dan diesel di stesen minyak supaya lebih jelas dan mudah difahami pengguna, selain penggunaan bahan komunikasi berbentuk grafik agar penyampaian maklumat lebih menarik dan berkesan," katanya.
Azman berkata sebanyak 283 stesen minyak di Sarawak akan terus dipantau bagi memastikan pematuhan terhadap garis panduan itu.
Di JOHOR, Pengarah KPDN negeri Lilis Saslinda Pornomo berkata 180 penguat kuasa melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan khususnya di kawasan titik panas dan pintu sempadan negeri itu.
Beliau berkata pemantauan di semua 639 stesen minyak di negeri itu juga akan terus dipertingkatkan menerusi rondaan harian termasuk melakukan hebahan serta peringatan kepada pemilik kenderaan asing mengenai penguatkuasaan itu.
- Bernama
