Menteri Pelancongan, Datuk Tengku Adnan Mansor hari ini menafikan sebarang pembabitan dalam pelantikan hakim-hakim, seperti yang didakwa dalam klip video perbualan telefon peguam Datuk VK Lingam, didakwa dengan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Tengku Adnan berkata, beliau tidak tahu mengapa namanya disebut oleh Lingam dalam perbualan telefon tersebut yang dirakamkan secara rahsia pada Disember 2001.

Klip video tersebut didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim September lalu.

“VK Lingam mesti gila atau mabuk bila dia menyebut nama saya dalam perbualan telefonnya itu," katanya ketika memberi keterangan kepada suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Lingam.

Dalam rakaman perbualan telefon tersebut, Nama Tengku Adnan disebut sebanyak 11 kali oleh Lingam, membayangkan beliau (Tengku Adnan) yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, boleh mempengaruhi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melantik hakim-hakim yang sehaluan.