Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gangguan kuasa jejas tren laluan Ampang, Sri Petaling
Diterbitkan:  Apr 2, 2026 4:19 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

Perkhidmatan tren laluan Ampang/Sri Petaling mengalami kelewatan susulan gangguan bekalan kuasa antara Stesen Awan Besar dan Stesen Sri Petaling.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini memaklumkan penumpang dijangka mengalami waktu menunggu lebih lama di platform, khususnya antara Stesen Bandar Tasik Selatan dan Stesen Awan Besar.

Sehubungan itu, perkhidmatan tren alternatif serta bas perantara ulang-alik percuma diaktifkan bagi membolehkan pengguna meneruskan perjalanan.

“Perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara ulang-alik percuma disediakan bagi menghubungkan stesen-stesen terjejas,” menurut kenyataan itu.

Bagi tren alternatif, tren dari Stesen Putra Heights berpatah balik di Stesen Kinrara BK5 dengan kekerapan tujuh minit, manakala tren dari Stesen Sentul Timur berpatah balik di Stesen Bandar Tasik Selatan dengan kekerapan 10 minit.

Selain itu, tren perantara ulang-alik disediakan antara Stesen Bandar Tasik Selatan dan Stesen Awan Besar serta antara Stesen Kinrara BK5 dan Stesen Awan Besar dengan kekerapan 15 minit.

Perkhidmatan bas perantara ulang-alik percuma turut disediakan antara Stesen Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi, Bukit Jalil dan Sri Petaling dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik.

Rapid Rail memaklumkan pasukan kejuruteraan berada di lokasi bagi menjalankan kerja baik pulih untuk memulihkan operasi secepat mungkin.

Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan serta petugas stesen ditempatkan di platform dan ruang legar stesen.

Penumpang disaran mendapatkan pengangkutan alternatif lain serta merujuk media sosial Rapid KL dan aplikasi MyRapid PULSE bagi maklumat terkini operasi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS