Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal di Jalan Sultan Ismail di Kuala Lumpur awal pagi tadi, dipercayai berpunca daripada kegagalan mematuhi lampu isyarat merah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata pemandu berusia 25 tahun itu ditahan pada 1 tengah hari tadi di sebuah klinik di Kundang, Rawang semasa mendapatkan rawatan.
Beliau berkata kemalangan yang tular menerusi video di media sosial Threads, dipercayai berlaku pada 4.27 pagi di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail.

“Siasatan awal mendapati dua motosikal ditunggang lelaki tempatan berusia 24 dan 19 tahun sedang melintasi persimpangan dengan lampu isyarat hijau namun sebuah kereta dari arah kanan dipercayai gagal mematuhi lampu isyarat merah telah merempuh mereka.
“Akibat kemalangan itu, dua penunggang terbabit mengalami kecederaan serius dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dengan mangsa berusia 24 tahun putus kaki kiri manakala seorang lagi patah tangan serta kaki kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zamzuri berkata ujian alkohol mendapati suspek tidak berada di bawah pengaruh alkohol manakala ujian saringan air kencing sedang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
“Pemandu kereta hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan manakala seorang penumpang kereta cedera pada bahagian kepala,” katanya.
Beliau berkata seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun yang berada di lokasi kejadian telah membuat laporan polis dan dirakam percakapan sebagai saksi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
- Bernama
