Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Permatang Gedong, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima makluman kejadian pada 9 malam, dan mangsa Muhammad Asri Mohd Nazri, 32, disahkan meninggal dunia pada 6.45 pagi tadi di Hospital Sultan Abdul Halim.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku pada 8.30 malam ketika pemandu lori jenis Hino dalam perjalanan dari arah Taman Sejati ke tempat kerja.

“Semasa membelok ke kanan, motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan bertembung dengan bahagian tayar belakang sisi kiri lori,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hanyan berkata mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15 milik adiknya merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal.
Beliau berkata siasatan juga mendapati pemandu lori berusia 53 tahun itu positif dadah jenis ganja dan pihaknya akan mendapatkan perintah tahanan reman esok.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan.
— Bernama
