Bekalan beras di Sabah mencukupi, usah buat pembelian panik, demikian jamin Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berhubung stok bekalan beras di negeri itu.
Oleh itu Chan yang juga anggota parlimen Kota Kinabalu menyeru masyarakat Sabah agar tidak melakukan pembelian panik hanya kerana menerima maklumat yang tidak betul berhubung perkara itu melalui spekulasi yang tercetus.
Katanya, tindakan menyebarkan khabar angin sedemikian hanya akan mengelirukan rakyat selain berpotensi mengganggu kestabilan pasaran serta akses pengguna lain kepada bekalan tersebut.
"Sejujurnya, fenomena pembelian panik di peringkat pengguna adalah sesuatu yang membimbangkan. Namun, keadaan ini bukan berpunca daripada kekurangan bekalan, sebaliknya didorong oleh penularan maklumat tidak sahih yang mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
"Tindakan menyebarkan khabar angin sebegini bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah berpotensi mengganggu kestabilan pasaran.
"Hakikatnya, bekalan beras di Sabah ketika ini adalah mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal untuk menampung keperluan rakyat," katanya dalam hantaran di Facebooknya.
Terdahulu, dia mengadakan pertemuan bersama Ketua Operasi Pejabat Bernas Sabah, Hervian Kirman dan Timbalan Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Sabah, Rosman Shamsul bagi mendapatkan gambaran terperinci mengenai situasi semasa di negeri itu.
Chan menegaskan bahawa jaminan bekalan itu telah disahkan oleh pihak Bernas selain pemantauan rapi yang dilakukan oleh kerajaan negeri di seluruh rantaian pengedaran.
"Sehubungan itu, orang ramai diseru agar tidak melakukan pembelian secara berlebihan atau “hoarding”, kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan kestabilan pasaran serta mengganggu akses pengguna lain.
"Kekal tenang, berbelanja secara berhemah, dan percayalah kepada maklumat rasmi. Kerjasama semua amat penting untuk memastikan bekalan kekal stabil dan mencukupi untuk semua rakyat Sabah," katanya lagi.
