Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bakal mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0.
Amirudin diamanahkan untuk mewakili Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan dalam misi itu.
“Dengan tugasan mencabar dan penuh risiko ini, dimohon seluruh warga Selangor dan Malaysia mendoakan agar misi Malaysia yang akan diketuai oleh Menteri Besar Selangor serta setiap petugas berjalan sempurna dan selamat,” menurut kenyataan pejabatnya.
Delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 merupakan satu usaha bersepadu yang melibatkan pelbagai organisasi kemanusiaan tempatan dan antarabangsa.
Ini adalah usaha kali kedua dilakukan untuk memasuki Gaza.
Pejabat Menteri Besar Selangor juga berkata, pelantikan Amirudin mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam menyokong usaha kemanusiaan di peringkat global.
Misi anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) itu dibantu oleh Cinta Gaza Malaysia sebagai NGO rakan strategik untuk menyampaikan bantuan dan menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin.
Misi itu dijangka membawa sebanyak 30 kontena bantuan yang mengandungi kira-kira 374 tan bekalan kemanusiaan, termasuk keperluan asas seperti makanan, perubatan dan barangan keperluan harian.
Amirudin dijadualkan berlepas pada 5 April.
