Semua parti politik Melayu di negara ini dijemput menghadiri Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah yang berlangsung di Kuala Terengganu hari ini, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurut Menteri Besar Terengganu itu, jemputan telah dihantar secara menyeluruh namun kehadiran bergantung kepada kesesuaian jadual parti masing-masing.
"Kita hantar kepada semua parti-parti politik Melayu yang ada dalam negara kita ini cuma terpulang kepada mereka sama ada mereka dapat hadir.
"Ada yang tak dapat hadir, menghantar wakil kerana bertembung dengan program parti mereka sendiri, tak apalah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ketiadaan pemimpin Umno dalam program tersebut.
Program berkenaan turut disertai beberapa tokoh antarabangsa dan tempatan, termasuk Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi serta pendakwah bebas, Zakir Naik.
Ijtimak yang memasuki edisi kelima itu turut menampilkan ucaptama oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Mengulas perkembangan pelantikan ketua pembangkang, Samsuri berkata beberapa proses masih berjalan dan keputusan dijangka dibuat dalam masa terdekat sebelum persidangan Parlimen.
"Sabar dulu kita tengok dalam masa yang terdekat...sidang parlimen kita pun lambat lagi, kita masih ada banyak masa untuk membuat pertimbangan.
"Saya tak boleh sebut (tempoh) masa, kalau sebut masa kan orang tunggu masa tu pula, kita dalam proses, kalau selesai semua sedia maklum," katanya lagi.
