Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JPN: Penjara tiga tahun jika guna Mykad orang lain beli petrol
Diterbitkan:  Apr 6, 2026 1:01 PM
Dikemaskini: 5:01 AM

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menggunakan MyKad orang lain - termasuk milik ahli keluarga sendiri - untuk membeli bahan api bersubsidi, dengan menegaskan bahawa tindakan sedemikian adalah dilarang keras.

Badrul Hisham Alias

Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias menekankan bahawa MyKad merupakan dokumen pengenalan diri rasmi yang tidak boleh dimiliki atau diwakili oleh sesiapa pun selain pemiliknya yang sah.

Dia dipetik oleh New Straits Times dalam satu kenyataan yang menyebut bahawa larangan itu selaras dengan Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang menyatakan bahawa penggunaan atau pemilikan kad pengenalan orang lain adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Mereka yang disabitkan kesalahan di bawah peraturan tersebut boleh dikenakan denda maksimum RM20,000, hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Badrul juga menegaskan bahawa semua urusan melibatkan pembelian bahan api mesti dilakukan sendiri oleh pemegang kad masing-masing, kerana tindakan meminjamkan atau menyerahkan MyKad mereka kepada orang lain boleh membawa padah.

Kenyataannya menyusul selepas beberapa kes mendapati ada pemandu yang memiliki MyKad orang lain semasa membeli bahan api bersubsidi, termasuk insiden terbaharu di Tumpat, Kelantan.

Pada 4 April, Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat berkata seorang suspek ditahan kerana didakwa menggunakan kad pengenalan milik empat individu untuk membeli lebih 100 liter petrol RON95 pada hari sebelumnya.

Yusoff berkata kes itu dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, dengan suspek turut disiasat di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959.

JPN juga dikatakan sedang menyiasat kes serupa melibatkan penyalahgunaan kad pengenalan bagi pembelian bahan api bersubsidi di seluruh negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS