Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keluar parti: Bersatu mungkin percepat pemilihan bahagian 'baru'

Bersatu dijangka akan mempercepatkan pemilihan di peringkat bahagian yang terjejas berikutan pergeseran antara presiden parti itu, Muhyiddin Yassin dan bekas timbalannya Hamzah Zainudin.

Menurut beberapa pemimpin Bersatu, parti itu menubuhkan “bahagian baru” bagi menggantikan bahagian yang telah dibubarkan susulan pemecatan Hamzah pada 14 Feb lalu.

Pemimpin Bersatu berkata pemilihan itu mungkin diadakan seawal Ogos depan untuk menggantikan jawatankuasa sementara yang dilantik oleh Presiden parti, Muhyiddin Yassin pada 10 Mac.

Bersatu tidak mendedahkan jumlah bahagian yang terlibat, namun ia dipercayai berjumlah puluhan bahagian termasuk lima di Melaka, 11 di Johor, empat di Perak, dan sekurang-kurangnya empat di Selangor.

"Ya, seluruh baru, bahagian telah dibubarkan, kita bentuk baru,” kata ketua penaja Bahagian Bersatu Selayang, Muhammad Rafiq Abdullah.

Rafiq antara mereka yang menerima watikah daripada Muhyiddin bulan lalu.

Adun Kuang itu sebelum ini merupakan ketua Bahagian Bersatu Sungai Buloh, tetapi ditugaskan untuk menggerakkan semula jentera Bersatu di Selayang.

Muhammad Rafiq Abdullah

Bercakap kepada Malaysiakini, Rafiq berkata penubuhan bahagian baru lebih mudah bagi menggantikan bahagian lama yang telah dibubarkan.

Menurutnya, semua bahagian penaja itu mungkin mengadakan pemilihan pada Ogos ini apabila cawangan Bersatu di seluruh negara mengadakan mesyuarat agung tahunan.

"Itu pun kalau ibu pejabat tak tunda pemilihan 18 bulan (seperti dibenarkan perlembagaan parti),” tambahnya.

Difahamkan, antara bahagian baru yang akan ditubuhkan ialah Sepang, yang kini diterajui bekas menteri Rina Harun, selain bahagian Ampang dan Puchong.

Sementara itu di Melaka, pemilihan mungkin diadakan lebih lewat berbanding yang lain di mana lima daripada enam bahagiannya telah ditubuhkan semula.

Menurut ketua penaja Bahagian Bersatu Masjid Tanah, Nazri Ramli, Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu memutuskan untuk memberi lanjutan supaya dapat memberi tumpuan kepada pilihan raya negeri akan datang.

Sebagai rekod, DUN Melaka akan berakhir pada Disember dan selepas itu pilihan raya negeri perlu diadakan selewat-lewatnya dalam tempoh 60 hari.

Nazri sebelum ini merupakan timbalan ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah di bawah kepimpinan Mas Ermieyati Samsudin.

Ahli jawatankuasa bahagian yang asal meletak jawatan beramai-ramai selepas pemecatan Hamzah, namun masih kekal sebagai ahli parti.

‘Reset kepada parti’

Bercakap mengenai penubuhan bahagian baru, Nazri menyifatkannya sebagai satu “reset” dan percaya langkah itu akan membantu mereka membentuk barisan yang lebih “kukuh”.

“Kita lebih suka reset. Maksudnya, tak ada (ahli jawatankuasa) yang sekadar ‘menumpang’ sahaja.

“Jadi kita boleh bentuk jawatankuasa yang baru, yang solid, yang orang kata lebih kepada sentimen sayangkan parti,' katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali untuk mendapatkan komen mengenai dakwaan penubuhan bahagian baru dan pemilihan, namun dia menyifatkan perkara itu sebagai “berita palsu”.

Azmin merujuk kepada kenyataan Muhyiddin selepas menyerahkan surat pelantikan kepada jawatankuasa penaja pada 10 Mac, di mana bekas perdana menteri itu menegaskan bahawa tiada bahagian Bersatu yang dibubarkan.

"Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) juga mengambil maklum tidak ada bahagian yang berjaya dibubarkan.

"Ini hendak kita jelaskan kerana dalam beberapa minggu yang lepas, selepas peristiwa pemecatan Timbalan Presiden, kononnya ada beberapa bahagian dan pimpinan bahagian mengisytiharkan bahagian dibubarkan.

"Tiada yang lumpuh sepenuhnya,” kata Muhyiddin seperti dipetik Berita Harian.

Bersedia hadapi pilihan raya

Sementara itu, Rafiq dan Nazri berpendapat pergolakan politik antara penyokong Muhyiddin dan Hamzah tidak akan memberi kesan besar kepada persiapan parti itu bagi pilihan raya umum dan negeri akan datang.

Rafiq mendakwa tindakan penyokong Hamzah keluar parti tidak memberi kesan besar kepada sokongan Bersatu di Selayang.

"Sebenarnya benda ni senang je pun, tak susah pun.

"Tambah saya Adun di Kuang. Jadi Kuang ni bawah Selayang, so semua tu saya kenal,. Saya boleh pulih dalam masa 24 jam,” katanya sambil menambah Bahagian Bersatu Selayang dianggarkan mempunyai antara 3,000 hingga 4,000 ahli.

Dia juga yakin selagi gabungan PN kekal utuh, Bersatu dan rakan komponen lain mampu menawan Selangor daripada Pakatan Harapan dalam pilihan raya negeri akan datang.

Nazri pula berkata ramai ahli parti pada awalnya tidak pasti pihak mana yang perlu disokong ketika konflik kerana mereka sangat menghormati Mas Ermieyati, yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah.

"Saya tak nampak benda ni beri kesan buruk kepada kita. Malahan kita nampak kebelakangan ini pun banyak ahli-ahli lama yang ada menghubungi saya beri pandangan.

"Itu satu pun tanda positiflah. Dari segi jentera pilihan raya, saya rasa tidaklah menjadi satu masalah selagi Perikatan Nasional masih lagi wujud dan berada di Masjid Tanah.

"Cuma peringkat pimpinan saja yang kita nampak bercelaru, tapi di peringkat bawah dia orang faham. Dan dia orang tu hanya nak tumpukan pada pilihan raya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS