Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Trump ulangi kritikan pada Jepun, Korea Selatan, Australia dan Nato

Presiden Donald Trump pada Isnin mengulangi kritikan terhadap Jepun, Korea Selatan, Australia dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kerana tidak memberikan bantuan tentera laut bagi membantu membuka semula Selat Hormuz.

Kyodo melaporkan bahawa semasa sidang media di Rumah Putih, Trump mengadu bahawa Jepun dan Korea Selatan “tidak membantu” walaupun terdapat puluhan ribu anggota tentera AS di kedua-dua negara itu untuk melindungi mereka daripada Korea Utara, yang menurutnya memiliki “banyak senjata nuklear.”

Cadangan Trump bahawa sokongan ketenteraan AS kepada dua sekutu utama di Asia itu, serta Australia sepatutnya dibalas, dibuat selepas beliau sekali lagi menyifatkan NATO sebagai pengecut.

Sebaliknya, Trump memuji beberapa negara di Asia Barat termasuk Kuwait, Qatar dan Arab Saudi sebagai rakan kongsi yang “baik” kepada Amerika Syarikat sejak negara itu dan Israel melancarkan perang pada 28 Feb.

Sambil mengulangi ancamannya terhadap Iran, Trump menegaskan bahawa Amerika Syarikat telah pun memenangi perang itu dari segi ketenteraan.

Beliau berkata melainkan Tehran mencapai perjanjian dengan Washington, infrastruktur kritikal Iran boleh dimusnahkan dalam tempoh empat jam.

Trump menetapkan Selasa pada 8 malam di Washington sebagai tarikh akhir untuk Iran membuka semula Selat Hormuz, laluan air yang penting bagi bekalan minyak global.

Tehran sebahagian besarnya telah menyekat selat itu sejak perang bermula, sekali gus menjejaskan pasaran tenaga.

Pembukaan semula laluan perkapalan itu, kata Trump, merupakan “keutamaan yang amat besar.”

“Kita mesti mempunyai perjanjian yang boleh saya terima dan sebahagian daripada perjanjian itu ialah kita mahukan laluan bebas bagi minyak dan segala-galanya.

"(Jika tidak,) kami ada rancangan disebabkan kekuatan ketenteraan kami, dengan setiap jambatan di Iran akan dimusnahkan sepenuhnya menjelang 12 malam esok, serta setiap loji janakuasa di Iran akan lumpuh, terbakar, meletup, dan tidak akan dapat digunakan lagi selama-lamanya,” kata beliau.

Bercakap bersama Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth, Pengerusi Ketua Turus Bersama Jeneral Dan Caine dan Ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA) John Ratcliffe, presiden itu berkata Amerika Syarikat sebenarnya lebih rela untuk tidak memusnahkan infrastruktur penting Iran.

“Ia akan mengambil masa 100 tahun untuk mereka membina semula sekarang.

"Jika kita beredar hari ini, mereka memerlukan 20 tahun untuk membina semula negara mereka, dan ia tidak akan menjadi sebaik dahulu.

“Satu-satunya cara mereka boleh membina semula negara mereka adalah dengan memanfaatkan kepintaran Amerika Syarikat,” kata Trump.

Terdahulu pada hari yang sama, agensi berita rasmi Iran, IRNA, berkata negara itu mahukan penamatan perang secara kekal, bukannya gencatan senjata.

Sambil menolak cadangan gencatan senjata 15 perkara oleh Washington, yang menurut agensi berita itu disampaikan melalui Pakistan, Iran mengemukakan pelan 10 perkara tersendiri, termasuk rangka kerja untuk menghentikan permusuhan serantau dan memastikan laluan selamat melalui laluan air strategik itu.

Dalam ulasan pada acara berasingan sebelum sidang media itu, Trump menyifatkan cadangan balas Iran sebagai “langkah penting” tetapi masih belum memadai.

- Bernama-Kyodo


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS