Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelan 10 perkara: Iran tuntut AS iktiraf program nuklear, batal semua sekatan
Diterbitkan:  Apr 8, 2026 11:42 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

Tehran pada Rabu berkata pelan 10 perkaranya untuk menamatkan perang dengan Amerika Syarikat (AS) akan memerlukan Washington menerima program pengayaan uraniumnya serta membatalkan semua sekatan.

Menerusi satu kenyataan, republik Islam itu juga mendakwa mencapai kemenangan dan memberikan senarai 10 perkara yang diterbitkan oleh media kerajaan. Ia juga termasuk "kawalan berterusan Iran ke atas Selat Hormuz.”

Tuntutan utama lain dalam pelan tindakan itu, yang ditawarkan melalui perantara di Pakistan, termasuk pengunduran tentera AS dari Asia Barat, penamatan serangan ke atas Iran dan sekutunya, pembebasan aset Iran yang dibekukan, serta resolusi Majlis Keselamatan PBB untuk menjadikan sebarang perjanjian sebagai mengikat.

"Perlu dicatatkan bahawa penerimaan resolusi sedemikian akan menjadikan semua perjanjian ini mengikat di bawah undang-undang antarabangsa dan akan membentuk kemenangan diplomatik yang besar bagi negara Iran," kata Majlis Keselamatan Kebangsaan Tertinggi negara itu dalam satu kenyataan.

Paling penting, pelan itu juga menuntut peluasan kawalan Iran ke atas Selat Hormuz, laluan bagi kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia yang telah disekat secara berkesan daripada trafik maritim sejak permulaan konflik lima minggu lalu.

Pengumuman itu dibuat selepas Pakistan mengemukakan cadangan saat-saat akhir bagi mengelakkan serangan besar-besaran AS ke atas Iran, dengan Trump memberi amaran bahawa "seluruh tamadun akan mati malam ini" melainkan perjanjian dicapai.

Berikut ringkasan 10 perkara dalam pelan gencatan itu,

  • Jaminan bahawa Iran tidak akan diserang lagi.

  • Penamatan perang secara kekal, bukan sekadar gencatan senjata.

  • Penamatan serangan Israel di Lubnan.

  • Penarikan semua sekatan AS ke atas Iran.

  • Penamatan semua konflik serantau terhadap sekutu Iran.

  • Sebagai balasan, Iran akan membuka Selat Hormuz.

  • Iran akan mengenakan bayaran AS$2 juta bagi setiap kapal melalui Selat Hormuz.

  • Hasil hasil bayaran tersebut akan dikongsi dengan Oman.

  • Iran akan menetapkan peraturan bagi laluan selamat melalui Selat Hormuz.

  • Iran akan menggunakan hasil bayaran Selat Hormuz untuk pembinaan semula, bukan sebagai pampasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS