Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri oleh sebuah Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Zhao Zi Long, sebuah persatuan tokong di Bagan Ajam, Butterworth yang telah dibatalkan kini akan diganti dengan jamuan perpaduan.
Ini selepas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengarahkan majlis rumah terbuka itu dibatal kerana ia dikategorikan sebagai salah satu aktiviti keagamaan masyarakat Islam yang tertakluk kepada kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohamad Abdul Hamid, berkata JHEAIPP telah mengeluarkan arahan pembatalan kepada penganjur pada 31 Mac lalu dan pihak penganjur telah akur.
“Bagi menggantikan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ini, Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Zhao Zi Long Pulau Pinang akan menganjurkan Majlis Jamuan Perpaduan Bersama Penduduk-penduduk Bagan Ajam pada 11 April 2026 jam 8.00 malam bertempat di Dewan Panorama Bagan Ajam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Mohamad, penganjuran majlis perpaduan itu dibuat atas nasihat Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Pulau Pinang, yang kini akan menyelaras sepenuhnya acara berkenaan.
“Sebarang program berkaitan aktiviti perpaduan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, dan penyelarasan akan dilaksanakan oleh jabatan tersebut,” jelasnya.
Sebelum ini, setiausaha persatuan tokong itu, Ng Choong Seong, menyatakan kekecewaan dengan arahan pembatalan majlis rumah terbuka yang disifatkan sebagai usaha "memupuk perpaduan, mengeratkan hubungan persahabatan, dan memperkukuh keharmonian dalam komuniti setempat".
Dia berkata persatuannya juga telah berunding dengan pemimpin masjid dan surau tempatan, serta wakil komuniti yang menyatakan sokongan.
Ng turut menambah bahawa semua makanan adalah halal dan diperoleh daripada perniagaan katering yang diusahakan oleh penduduk sebagai cara untuk menyokong komuniti.
