GLOBAL | Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt berkata Washington sedang mengusahakan pelan damai yang disemak semula menjelang rundingan tertutup yang bakal bermula tidak lama lagi di Islamabad, lapor Xinhua.
Karoline berkata pada sesi taklimat media di Rumah Putih, “garis merah presiden, khususnya penamatan pengayaan uranium di Iran, tidak berubah.”
Dia juga mendakwa kesediaan AS untuk mengadakan rundingan bergantung pada pembukaan semula laluan perairan global yang penting itu “tanpa sebarang sekatan atau kelewatan.”
Tehran menggantung trafik perkapalan yang melalui Selat Hormuz susulan serangan Israel ke atas Lubnan, menurut laporan awal agensi berita Fars pada Rabu.
“Lubnan bukan sebahagian daripada gencatan senjata itu.
"Perkara tersebut telah dimaklumkan kepada semua pihak yang terlibat dalam gencatan senjata berkenaan.
“Perkara ini pasti akan terus dibincangkan antara presiden dan Perdana Menteri Netanyahu, antara AS dan Israel, serta semua pihak yang terlibat,” kata Karoline.
Menteri Luar Iran Seyed Abbas Araghchi pada Rabu berkata AS mesti memilih sama ada untuk mempertahankan gencatan senjata atau meneruskan “perang berterusan melalui Israel” –merujuk kepada tindakan Israel yang terus melancarkan serangan ke atas Lubnan.
“Terma gencatan senjata Iran-AS adalah jelas dan tegas: AS mesti memilih - gencatan senjata atau perang berterusan melalui Israel. Dia tidak boleh memilih kedua-duanya.
“Kini semuanya bergantung kepada AS, dan dunia sedang memerhati sama ada ia akan bertindak selaras dengan komitmen yang dijanjikan,” kata Araghchi di platform X.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran memberi amaran bahawa mereka akan bertindak balas jika “pencerobohan” terhadap Lubnan tidak dihentikan serta-merta, menurut laporan penyiar negara itu, IRIB, pada Rabu.
Pesawat pejuang Israel melancarkan beberapa siri serangan udara di seluruh Lubnan semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 87 orang dan mencederakan 722 yang lain.
- Bernama/Xinhua
