Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penjawat awam direman bantu siasatan kes anugerah pingat
Diterbitkan:  Apr 9, 2026 12:45 PM
Dikemaskini: 4:45 AM

Seorang penjawat awam di Perlis direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes menerima rasuah kira-kira RM200,000 berkaitan urusan mendapatkan pelbagai darjah kebesaran, pingat dan bintang sebuah pertubuhan beruniform sukarela pada 2024.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), perintah reman terhadap lelaki berusia 57 tahun itu dibenarkan majistret Nurul Natasha Rizal di Kangar selepas permohonan hari ini.

Sumber itu memaklumkan lelaki terbabit ditahan pada jam 2.40 petang semalam selepas memberikan keterangan di Pejabat SPRM Perlis di Kangar.

Dia memberitahu lelaki terbabit disyaki menerima wang berkenaan pada 2024 ketika dia menyandang jawatan ketua pesuruhjaya pertubuhan itu di Perlis sebagai balasan untuk beberapa individu mendapatkan bintang dan pingat.

"Jumlah keseluruhan individu yang terlibat memberikan wang kepada lelaki tersebut untuk dapatkan pingat dan bintang berkenaan masih dalam siasatan pihak SPRM," kata sumber tersebut hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS