Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin menafikan dakwaan parti pembangkang bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengharamkan penyiaran lagu `Bersih' nyanyian komposer terkenal, M Nasir.

Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang dalam Parlimen dengan mendakwa RTM telah mengharamkan lagu itu.

"Saya pun hanya tahu yang lagu bertajuk `Bersih' (diharamkan) selepas perkara ini dibangkitkan oleh DAP dalam Parlimen.

"Kita sendiri rasa terkejut dengan dakwaan DAP dan nampaknya perkara ini saya harus buat penafian kerana saya tidak mahu M Nasir mempunyai tanggapan yang salah terhadap RTM," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Menurut laporan Bernama, Zam berkata, lagu `Bersih' yang diharamkan itu merujuk lagu kepada perhimpunan haram anjuran sebuah pertubuhan yang menggelarkan diri mereka, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih).

"Sebenarnya saya tidak pernah mengharamkan lagu Bersih nyanyian M Nasir bersama Tan Sri S M Salim yang tajuk lagu sebenarnya Cak Kun Cak.

"Ini semua salah faham kerana kalau kita rujuk bersih (Cak Kun Cak) lagu itu bukanlah kepada Bersih (perhimpunan haram)... jadi sebab itu kita tidak haramkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zainuddin berkata beliau tidak akan mengharamkan kemunculan penyanyi Faizal Tahir di kaca televisyen selepas selesai menjalani hukuman penggantungan selama tiga bulan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berikutan tindakannya yang melanggar tatasusila adat ketimuran dalam satu konsert pada 13 Jan lepas.

Zainuddin merujuk kenyataannya yang dilaporkan sebuah akhbar hari ini memetiknya sebagai berkata bahawa RTM tidak menghalang penyanyi itu daripada terus muncul di televisyen dalam siaran langsung atau tertunda walaupun telah dikenakan hukuman penggantungan selama tiga bulan.

Zainuddin berkata maksud beliau adalah Faizal hanya dibenarkan muncul di kaca televisyen selepas dia dibebaskan daripada hukuman itu.