Beberapa bekas pemimpin Umno yang dianggap sebagai "nama besar" dalam politik hampir pasti tidak akan kembali ke Rumah Bangsa Umno meskipun pintu telah dibuka seluasnya.
Antaranya bekas pengerusi Umno Selangor, Noh Omar yang dikatakan sudah 'berpatah arang' untuk rujuk kembali kepada parti itu.
Menurut sumber terdekat dengan Noh, bekas ahli parlimen Tanjong Karang itu masih lagi "berjiwa Umno" namun kerjasama BN dengan PH yang turut membabitkan DAP membuatkan dia "menangguhkan" hasrat untuk kembali ke pangkuan parti itu.
"Setakat ini jelas, dia tidak akan kembali menyertai Umno kerana prinsip tidak mahukan DAP.

"Namun Tan Sri (Noh) jelas, jiwanya adalah jiwa Umno, dia masih sayangkan Umno, saya yakin dia akan kembali bersama Umno jika parti itu tidak lagi mempunyai kerjasama dengan DAP," katanya kepada Malaysiakini.
Noh sebelum ini dipecat daripada Umno pada 28 Jan 2023. Dia dipecat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bersama dengan bekas ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein pula digantung keahlian selama enam tahun.
Pemecatan Khairy dan Noh dibuat atas dakwaan melakukan sabotaj parti pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Noh memilih menyertai Bersatu sebagai wadah politiknya yang baru. Bagaimanapun Noh meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 14 Feb lalu.
Hubungan Noh dengan pimpinan Umno yang sebelum ini tegang dilihat kembali pulih.
Malah, Noh turut hadir majlis rumah terbuka anjuran Pengerusi Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin di Batu Caves baru-baru ini yang turut dihadiri Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Selain Noh, bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa juga dijangka tidak akan kembali ke Rumah Bangsa yang diumumkan Zahid pada Perhimpunan Agung Umno yang lalu.

Annuar difahamkan akan terus "istiqamah" bersama PAS kerana melihat peluang lebih cerah untuk bertanding kerusi parlimen pada pilihan raya umum akan datang.
Selain itu, Annuar juga mempunyai hubungan yang "kurang baik" dengan Ahmad Zahid.
Bekas pemimpin Umno, Rais Yatim juga sebelum ini dilaporkan tidak akan kembali menyertai Umno.
Namun, dia dilihat hadir ke majlis rumah terbuka Megat Zulkarnain yang juga setiausaha politik kepada Zahid.

Sementara itu, pemimpin Umno yang enggan namanya didedahkan berkata beberapa nama besar akan kembali menyertai Umno.
Bagaimanapun katanya, buat masa ini dia tidak boleh mendedahkan siapakah pemimpin berkenaan kerana tidak mahu menganggu proses yang sedang berlaku.
"Rundingan sedang berlaku, saya tak mahu dedahkan lajut kerana kita tak nak ia menganggu proses yang sedang berlangsung.
"Tiba masanya anda juga akan dimaklumkan," katanya kepada Malaysiakini.
Setakat ini, hanya Khairy dan Hishammuddin yang memohon untuk kembali aktif dalam Umno melalui inisiatif Rumah Bangsa, selepas pemecatan dan penggantungan mereka daripada parti itu.
