Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fahmi ucap takziah kepada keluarga jurubahasa isyarat RTM

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga jurubahasa isyarat Radio Televisyen Malaysia (RTM) Mohammad Fadhil Tan Razman Tan yang meninggal dunia hari ini.

Beliau berkata Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Abby Tan, sebelum ini terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 6 Mac lepas.

“Semoga keluarga Allahyarham diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fahmi turut menzahirkan ucapan takziah kepada rakan Abby Tan di RTM, khususnya di Bahagian Berita Ehwal Semasa serta mengajak orang ramai untuk bersama-sama mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Ketika kemalangan pada Mac lepas itu, Abby Tan dalam perjalanan pulang ke kampung ibunya di Ipoh, Perak dengan menunggang motosikal.

Dalam kejadian antara 9 hingga 10 malam itu, Abby Tan dipercayai menjadi mangsa langgar lari melibatkan sebuah lori di kawasan Simpang Pulai, Perak.

Susulan kemalangan tersebut, Allahyarham dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS